Malaysia Dateline

Jenazah Alif Aiman selamat dikebumi, tamatkan pencarian lapan hari

Husam di rumah keluarga Allahyarham sejurus sebelum mayat ditemui semalam.

Jenazah adik Alif Aiman Mohd Adli yang terjatuh ke sungai Kelantan 3 Januari lalu selamat dikebumikan tengahari tadi.

Adun Salor, Datuk Husam Musa yang hadir semasa solat jenazah dan pengebumian mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa.

“Apa pun kita bersyukur kerana urusannya telah disempurnakan jam 12 tengahari tadi selepas lapan hari terjatuh dan lemas di sungai berhampiran rumahnya,” katanya.

Lewat petang semalam beliau sempat datang membacakan Hizbul Bahr iaitu Himpunan Doa Lautan yang dinukilkan Imam Hasan As Syazili di rumah ibu bapa mangsa.

“Kebetulan, awal malam tadi, mayat dijumpai di Pulau Raja, Tumpat. Tidak dapat dibayangkan leganya hati kedua ibu bapa si mati,” katanya.

Beliau mendoakan Allayarham dicucuri rahmat oleh Allah.

“Semoga dengan rahmat dan izin-Nya, boleh memberikan syafaat kepada anggota keluarganya di Mahsyar nanti,” katanya.

Allahyarham seorang murid Sekolah Kebangsaan (SK) Seberang Pasir Mas itu ditemui dalam keadaan meniarap dan badan membengkak oleh penduduk di tepi Sungai Kelantan di Kampung Raja, Palekbang, Tumpat, pada jam 7 malam semalam selepas lapan hari dilaporkan lemas.

Mangsa dibawa arus kira-kira 20 kilometer dari lokasi jatuh di Kampung Pak Limah, Salor.

Suasana sedih di perkarangan rumah ibu bapa Alif Aiman pagi tadi.