Malaysia Dateline

Jenazah bekas Speaker Johor bakal dikebumikan pagi ini

Bekas Ahli Parlimen Sri Gading, Tan Sri Mohamad Aziz, meninggal dunia di Hospital Sultan Ismail di Johor Bahru, Johor, malam tadi.

Allahyarham yang berusia 80 tahun, meninggal dunia jam 9.50 malam akibat sakit buah pinggang, dan dijangka dikebumikan jam 9.30 pagi ini.

Bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Suhaizan Kayat mengesahkan hal sedemikian menerusi Facebook malam tadi.

“Bekas Speaker DUN Johor, Tan Sri Mohamad Aziz baru sahaja meninggal dunia sebentar tadi di Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru.

“Selepas pelantikan saya sebagai Speaker DUN Johor pada 2018, saya sempat ziarah Allahyarham di Sri Gading.

“Banyak nasihat berguna yang beliau berikan pada saya. Moga rohnya ditempatkan bersama orang yang soleh,” katanya.

Jenazah akan dimandikan di hospital sebelum dibawa ke rumah di Nong Chik, Johor Bahru.

Allahyarham pernah berkhidmat selama 14 tahun sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parit Yaani bermula 1986 hingga 1999.

Beliau kemudian menggalas tanggungjawab sebagai Ahli Parlimen Sri Gading antara 1999 hingga 2013, selain pernah dilantik sebagai Speaker DUN Johor pada 2013.

Allahyarham juga pernah menjadi Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Sosial dan Kebajikan Masyarakat negeri pada 1990 hingga 1995, serta Ketua Penerangan Tugas-Tugas Khas Kerajaan Negeri Johor pada 1995 hingga 1999.

Dalam politik, Allahyarham pernah menyandang jawatan Timbalan Pengerusi Tetap Umno, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sri Gading dan Ketua Umno Bahagian Sri Gading.