Jenazah Dr Fadi diterbangkan ke Mesir sebelum ke Gaza

Jenazah Dr Fadi diterbangkan ke Mesir sebelum ke Gaza

Allahyarham Dr Fadi Mohammed Al Batsh

Setelah beberapa hari tertangguh, jenazah pensyarah dan imam Palestin Allahyarham Dr Fadi Mohammed Al Batsh akan dibawa pulang ke tanah airnya di Gaza hari ini.

Konvoi yang membawa jenazah Allahyarham Dr Fadi tiba di Terminal Mas Kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 3.10 petang diiringi dua motosikal trafik Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan enam kereta termasuk kenderaan yang membawa Duta Besar Palestin ke Malaysia Datuk Dr Anwar H Al Agha.

Turut bersama-sama dalam konvoi itu ialah isteri Allahyarham, Enas Al Batsh, 31 dan dua anak perempuan mereka Doaa, 6, dan Aseel, 4 serta seorang anak lelaki Mohamad yang berusia setahun.

Difahamkan jenazah Allahyarham Fadi dan seluruh anggota keluarganya akan diterbangkan ke Kaherah, Mesir dengan pesawat Saudi Airlines pada 7 petang ini sebelum dibawa ke Gaza menggunakan jalan darat.

Terdahulu, kira-kira 2,000 jemaah menunaikan solat jenazah untuk Allahyarham Fadi di Surau Medan Idaman, di Setapak.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6 pagi pada 21 April lalu, Fadi, 35, ditemukan mati ditembak 10 kali oleh dua suspek yang menaiki motosikal berkuasa tinggi di hadapan Kondominium Idaman Puteri, Jalan Meranti, Kuala Lumpur.

Mangsa merupakan pensyarah sebuah universiti swasta maut selepas mengalami kecederaan di bahagian badan dan kepala ketika dalam perjalanan ke Surau Medan Idaman bagi menunaikan solat Subuh