Jenazah mangsa gempa di Lombok tiba KLIA petang ini

Jenazah mangsa gempa di Lombok tiba KLIA petang ini

Jenazah Allahyarham Siti Nur Ismawida Ismail yang terkorban dalam kejadian gempa bumi di Lombok, Nusa Tenggara Barat (NTB), Indonesia Ahad lepas, hari ini diterbangkan dari Lombok ke Jakarta, sebelum dibawa pulang ke Malaysia.

Jenazah Siti Nur Ismawida, 30, dijadualkan dibawa berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Lombok menggunakan pesawat Garuda GA0435 pada 9.40 pagi ini ke Lapangan Terbang Soekarno Hatta, Jakarta.

Timbalan Duta Besar Malaysia di Indonesia Zamshari Shaharan berkata jenazah kemudiannya dibawa ke Kuala Lumpur menerusi penerbangan Garuda GA0816 dari Jakarta pada 1.40 tengah hari ini dan dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 5 petang (waktu Malaysia).

“Jenazah diiringi suaminya, Mohd Hafiz Mohd Kassim, dan saudara kepada Mohd Hafiz, Saiyid Abdallah Syahir Aledrus,” katanya seperti dipetik Bernama.

Difahamkan, sebaik tiba di KLIA, jenazah akan terus dibawa ke Masjid Ar-Rahimah, Desa Pandan sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu Muda, Kuala Lumpur.

Allahyarham Siti Nur Ismawida dilaporkan terkorban dihempap runtuhan tembok bangunan dalam kejadian gempa bumi 6.4 skala Richter yang menggoncang wilayah Nusa Tenggara Barat dan Lombok pada 5.47 pagi Ahad.

Kejadian itu setakat ini telah mengorbankan 14 mangsa, manakala beratus cedera serta memusnahkan lebih seribu rumah dan bangunan.

CATEGORIES
TAGS