Malaysia Dateline

Jenazah Muhammad Adib akan dikebumikan selepas solat Zohor hari ini

Jenazah Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassin dijadualkan akan dikebumikan selepas solat Zohur di kampung halamannya di Tebengau, Kuala Kedah hari ini.

Awal pagi ini jenazah Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim dibawa keluar dari perkarangan Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN), Hospital Kuala Lumpur pada 7.18 pagi selepas selesai proses bedah siasat.

Jenazah Muhammad Adib dibawa keluar dari IPFN menggunakan van jenazah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) diiringi pasukan pengiring JBPM dan Polis Diraja Malaysia untuk dibawa ke kemudahan Airod, Subang.

Allahyarham Muhammad Adib akan diterbangkan menggunakan helikopter di lapangan terbang berkenaan ke Kedah untuk dikebumikan di Kampung Tebengau, Kuala Kedah atas permintaan keluarga.

Terdahulu, jenazah Muhammad Adib dimandi, dikafan dan disolatkan di perkarangan IPFN yang disertai lebih 50 jemaah terdiri daripada pegawai kanan dan anggota bomba.

Setibanya jenazah Muhammad Adib di Kedah, JBPM akan mengadakan istiadat pengebumian kebombaan sebagai tanda memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham.

Dalam kejadian awal pagi 27 November lalu, Muhammad Adib, yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, cedera parah dipercayai dipukul sekumpulan perusuh di hadapan kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya.

Allahyarham ketika itu, menyertai operasi memadam kebakaran di hadapan kuil berkenaan.

Susulan kematian anggota bomba berusia 24 tahun itu, Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk Ab Rashid Ab Wahab berkata kes itu kini diklasifikasikan semula sebagai kes bunuh.