Jenazah pertama dikebumi hari ini

Jenazah pertama dikebumi hari ini

Jenazah mangsa pertama penumpang Lion Air JT610 yang terhempas di Perairan Tanjung Pakis, Karawang, Jawa Barat dikebumikan hari ini selepas identitinya berjaya di kenal pasti semalam, kata media tempatan, hari ini.

Menurut laporan Tempo.com, Ketua Pusat Sistem Pengenalan Cap Jari Automatik Indonesia (INAFIS) Polis Indonesia, Brig Jen Jdo Suryanto berkata, daripada 48 beg mayat yang berada di pusat terbabit, polis berjaya mengenal pasti jenazah Jannatun Cyntia Dewi menggunakan data cap jarinya.

“Kami cuba memadankan data jari telunjuk mangsa sebelah kanan dengan data E-KTP (kad pengenalan elektronik),” kata Hudi di pusat RS, semalam.

Hudi berkata, beberapa maklumat sokongan yang diberikan pihak keluarga membantu untuk mengenal pasti identiti mangsa antaranya, gambar ‘selfie’, gambar E-KTP dan gambar ketika menerima ijazah.

“Jenazah dikenal pasti sebagai Jannatun Cintya Dewi, disahkan oleh keluarga dan arwah adalah anak ketiga kepada pasangan Bambang Supriyadi dan Surtiyem,” katanya.

“Jenazah arwah akan diterbangkan ke Surabaya,” kata jurucakap Strategi Komunikasi Korporat Lion Air, Danang Mandala Prihantoro dalam kenyataan bertulisnya semalam.

Danang berkata, pesawat khas Lion Air membawa jenazah Jannatun kepada keluarga selepas penyerahan di rumah mayat Polri Kramat Jati, Jakarta Timur.

Penyerahan jenazah dilakukan oleh Pengarah Perkhidmatan Lapangan Terbang Kumpulan Lion Air, Kapten Wisnu Wijayanto.

“Lion Air akan menanggung sepenuhnya keperluan keluarga, termasuk wang keperluan saraan dan pengurusan jenayah,” kata Danang.

Menurut Danang, Lion Air bakal memberikan sejumlah wang kepada keluarga mangsa. Pecahan wang terdiri daripada kesulitan, Rp 5 juta (RM1,373), kesedihan Rp 25 juta (RM6,863) dan khairat kematian Rp 1.25 juta (RM34,443.21).

Wakil keluarga arwah yang dikenali sebagai Sumiyen berkata, jenazah akan dikebumikan di Desa Suruh, Sukodono, Sidoarjo, Jawa Timur. – Agensi