Malaysia Dateline

Jentera AMANAH diarah turun bantu calon PH di Semenyih

Parti Amanah Negara (AMANAH) mengarahkan jentera parti itu membantu kempen calon Pakatan Harapan (PH), Muhammad Aiman Zainali, bagi menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, 2 Mac ini.

Presiden Amanah, Mohamad Sabu berkata, arahan itu meliputi jentera dari semua negeri dan mereka akan bekerja bersama-sama jentera parti komponen PH yang lain.

“Jentera sudah bersiap sedia untuk PRK DUN Semenyih dan semua parti komponen akan bekerja atas nama PH,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri sambutan Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina DUN Sungai Kandis dan Parlimen Kota Raja, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menepis dakwaan kononnya jentera DAP, PKR dan Amanah akan memboikot kempen calon PH daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu sebagai protes kepada tindakan parti berkenaan menerima masuk tujuh bekas Anggota Parlimen UMNO baru-baru ini.

Hari ini adalah hari penamaan calon manakala pengundian awal pada 26 Feb ini dan hari mengundi 2 Mac ini.