Jentera Amanah Dun Melor mula buka bilik gerakan pilihan raya

Jentera Amanah Dun Melor mula buka bilik gerakan pilihan raya

Selepas lebih sebulan ditubuhkan jentera pilihan raya Dun (JDUN) Amanah Melor kini mula beroperasi di pejabat sendiri dalam kawasan pasar Melor.

Fairul Azam Ibrahim“Sebelum ini kami beroperasi secara ‘mobile’ dari rumah ke rumah jawatankuasa kita, kini Alhamdulillah dapat dijalankan gerak kerja dari sebuah pejabat,” kata ketua JDUN Melor Fairul Azam Ibrahim kepada Malaysia Dateline. 

Gotong royong menyiapkan pejabat itu katanya dibuat selama tiga hari berturut-turut dan disertai jawatankuasa JDUN dan ahli-ahli pemuda di Dun berkenaan.

“Kita telah menggerakkan kempen menambah ahli dan cawangan serta membuat operasi daftar pemilih bermula Februari lalu.

“Selepas ceramah yang kita adakan di sini bulan lalu, permintaan menubuhkan cawangan datang dari semua peti undi dalam Dun Melor.

“Sebanyak lima cawangan penaja telah ditubuhkan dan menunggu kelulusan pihak pendaftar pertubuhan,” katanya.

Menurutnya sebaik sahaja urusan penubuhan cawangan ini disahkan, pihak JDUN akan mengadakan satu ceramah khas bagi merasmikan cawangan-cawangan berkenaan.

“Majlis perasmian menaikkan dan mengibarkan bendera Amanah peringkat kawasan Ketereh akan diadakan pada 11 Mac ini.

“Oleh itu, majlis perasmian cawangan Dun Melor ini akan diadakan bersekali dengan program menaikkan dan mengibarkan bendera Amanah peringkat Dun nanti,” katanya.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang bertungkus lumus membantu menjayakan pengembangan parti Amanah di Dun Melor.

“Terima kasih juga kepada parti-parti dalam Pakatan Harapan (PH) dan Bersatu yang terus menerus memberikan sokongan dan kerjasama yang baik,” katanya.

Beliau berharap dengan wujudnya pejabat Amanah JDUN Melor ini segala usaha membantu rakyat akan lebih efisien lagi.

“Pejabat ini terbuka untuk dikunjungi sesiapa sahaja yang bertujuan baik membela rakyat dan mengukuhkan perpaduan masyarakat,” katanya.

TAGS