Malaysia Dateline

Jentera AMANAH Kuala Kangsar sambut gelombang nasional

Persiapan jentera pilihan raya parti dan gelombang nasional yang mahukan perubahan kerajaan di Putrajaya adalah dua gabungan faktor penting dalam memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), kata Naib Ketua AMANAH Kuala Kangsar, Prof Dr Ahmad Termizi Ramli.

Menurutnya, kesediaan AMANAH dalam pilihan raya umum kali ini untuk menyumbang kepada kemenangan Pakatan Harapan tidak terkecuali di Kuala Kangsar apabila bertindak menyambut hasrat rakyat yang tidak tahan lagi untuk membiarkan Umno-BN terus berkuasa.

“Jentera parti sebenarnya menyambut gelombang itu. Kalau gelombang yang hebat tidak disambut dengan jentera yang berpadanan, kita tidak boleh menjana kemenangan.

Dr Ahmad Termizi Ramli (dua dari kanan) dalam Konvensyen Pakatan Harapan baru-baru ini.

“Jadi, AMANAH sebagai anggota Pakatan Harapan menyumbang sebagai jentera yang cukup bersedia menyambut gelombang nasional itu pada pilihan raya kali ini,” ujar Pengerusi Biro Politik AMANAH Perak itu ketika dihubungi Malaysia Dateline.

Jelas anak kelahiran Kampung Suak Petai, Manong itu, majoriti pengundi di Kuala Kangsar juga tidak terkecuali dengan gelombang di peringkat nasional apabila terpukul dengan keperitan kenaikan melambung harga barang dan rantaian kos sara hidup.

“Mungkin ada yang kata bahawa pengundi luar bandar seperti di Kuala Kangsar tidak terkesan dengan isu-isu nasional tetapi orang kampung pun sebenarnya turut sama terjerat akibat kerajaan yang salah guna kuasa dan rasuah,” katanya.

Mengulas lanjut, bekas pensyarah Universiti Teknologi Malaysia (UTM) itu berkata, kedua-dua faktor jentera dan gelombang tersebut mesti seiring memandangkan Pas sebelum ini begitu sukar memenangi hati majoriti pengundi walaupun dikenali memiliki jentera pilihan raya yang kuat.

“Memang jentera pilihan raya itu amat penting tapi untuk menang, apa yang juga diperlukan gelombang di peringkat nasional yang menuntut muafakat dalam gabungan bersama.

“Pas yang kuat jentera pun apabila tiada gelombang yang kuat, tidak menang juga sebab kita bukan sekadar dimenangkan oleh ahli parti. Kita dimenangkan daripada segenap lapisan rakyat,” ujar Ahli Jawatankuasa AMANAH Nasional itu.

Ditanya tentang perkembangan struktur organisasi AMANAH Kuala Kangsar, Dr Ahmad Termizi memaklumkan sudah terdapat 26 cawangan berbanding dua sahaja ketika menyertai Pilihan Raya Kecil (PRK) pada 18 Jun 2016.

“Alhamdulillah. Pertambahan cawangan ini bukti jentera dan petugas pilihan raya AMANAH Kuala Kangsar sudah cukup bersedia di gelanggang PRU-14 selepas pengalaman kita bertempur dalam PRK dua tahun lalu,” ujarnya lagi.

Dr Ahmad Termizi pada PRK Kuala Kangsar lalu memperoleh 4,883 undi; calon Pas, Najihatussalehah Ahmad mendapat 5,684 undi manakala calon BN, Datin Mastura Mohd. Yazid menang dengan majoriti 6,969 undi.

Parlimen Kuala Kangsar antara empat kerusi yang akan ditandingi AMANAH Perak selain Parit, Parit Buntar dan Lumut.