Jentera Dun, 12 UPU Pas Kelaboran lumpuh akibat pengguguran Zaki

Markas UPU Tanjung Kuala yang sentiasa sibuk sejak pembubaran parlimen kini kosong tanpa pengunjung

Mohd Syafie Abdullah

Hampir semua jawatankuasa Dun Kelaboran dan sekurang-kurangnya 12 dari 14 jentera peringkat Unit Pusat Mengundi (UPU) kawasan itu bakal lumpuh akibat pengguguran Mohd Zaki Ibrahim sebagai calon Pas dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Pengerusi Pergerakan Prihatin Rakyat Kelaboran, Mohd Syafie Abdullah berkata perkara itu tidak dapat dielakkan kerana cara pimpinan Pas mengendalikan perkara ini amat kasar dan bercanggah dengan suara akar umbi.

“Saya sungguh terkejut dengan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakub selepas saya menyerahkan memorandum semalam,” katanya ketika di temui di Tumpat pagi ini.

Orang ramai yang bersamanya menyerahkan memorandum semalam hanyalah untuk mendapat penjelasan mengenai berita berkenaan kedudukan bekas Adun Kelaboran dalam pilihan raya nanti.

“Semasa di hadapan kita langsung dia tidak beritahu tentang pengguguran YB Zaki.

“Selepas kami beredar boleh pula dia beritahu wartawan bahawa Pas Pusat telah buat keputusan untuk rehatkan YB Zaki dan dia sebagai pesuruhjaya terpaksa akur kehendak jemaah,” katanya.

Sikap membelakangkan pengundi seperti itu menurut beliau bakal mengundang padah kepada Pas.

“Kami beramai-ramai jumpa MB semalam adalah untuk menyelamatkan Pas dan bukannya untuk merosakkan parti.

“Kami berharap apa pun keputusan yang hendak dibuat perlu dengan makluman dan perbincangan dengan rakyat dan pengundi terlebih dahului.

“Kalu beginilah caranya saya amat bimbang apa yang terjadi dalam pilihan raya nanti,'” katanya.

Dengan perkembangan ini Syafie percaya jentera Pas Dun Kelaboran bakal lumpuh dalam mengahadapi pilihan raya nanti.

“Majoriti pemegang jawatan utama dalam majlis tindakan Dun telah menghubungi saya menyatakan mahu meletakkan jawatan.

“Rakan-rakan yang menggerakkan parti di peringkat daerah mengundi juga bertalu-talu menghubungi saya untuk menghentikan gerak kerja, menutup markas malah ada yang bertindak lebih agresif dengan menutup bilik operasi masing-masing.

Tinjauan di bilik gerakan utama Dun Kelaboran mendapati susana sepi tanpa aktiviti

“Saya jangka sekurang-kurang 12 dari 14 jentera telah lumpuh dan tidak lagi meneruskan operasi kempen yang sudah giat berjalan,” katanya.

Nik Ahmad Nik Ismail

Sementara itu penghulu mukim Dalam Rhu, Nik Ahmad Nik Ismail memberitahu, gerak kerja di pusat mengundinya dihentikan serta merta.

“Rangka kapalterbang yang sebelum ini dihiasi lambang bulan telah dikoyak sepenuhnya.

“Mereka yang membina kerangka itu sekarang sedang berunding untuk menjualnya kepada parti lain, katanya.

Ditanya berkenaan pendirian politiknya sekarang beliau berkata akan tetap istiqamah dengan Pas.

“Untuk diri saya sendiri kita tetap istiqamah tetap kepada pengikut biasa dan orang ramai, kita tidak ada kemampuan untuk menyekat pilihan mereka,” katanya.

6.7
OVERALL SCORE
2 user votes x 10.0