Jentera Pas tak akan bantu parti lain PRU14

Jentera Pas tak akan bantu parti lain PRU14

Jentera pilihan raya Pas tidak akan membantu jentera pilihan raya parti-parti lain pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU 14) kelak, kata timbalan presiden parti itu Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Beliau berkata jentera Pas akan memberikan sepenuh komitmen terhadap parti sendiri bagi menjamin kemenangan Pas pada PRU14.

“Jentera (pilihan raya) kita tidak sama sekali akan membantu parti lain kerana kita pun tidak mempunyai sebarang kerjasama dengan parti lain.

“Komitmen kita sepenuhnya adalah dengan meneruskan agenda membantu perjuangan PAS,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran jentera pilihan raya Pas Dewan-Dewan sempena perhimpunan Fastaqim 2.0 di Pantai Tok Jembal, Kuala Nerus hari ini.

Bagaimanapun, katanya, Pas akan membantu Gagasan Sejahtera pada PRU14 kelak.

Pada pilihan raya sebelum ini, Pas banyak membantu jentera pilihan raya parti pembangkang terutama Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam meraih undi penyokong masing-masing ketika bersama Pakatan Rakyat.

Mengulas tindakan PKR yang turut melancarkan jentera pilihan raya peringkat Terengganu hari ini, Tuan Ibrahim berkata ia adalah hak parti berkenaan dan Pas tidak sama sekali tergugat dengan pelancaran tersebut.

“Itu hak mereka dan kita tak boleh sekat. Mungkin mereka nak tingkatkan gerak kerja menjelang pilihan raya umum dengan turut melancarkan jentera mereka hari ini,” katanya.

3.7
OVERALL SCORE
: 4.0
2 user votes x 3.5