Jep beri bayangan 2 anak autisme, anggap hadiah buat air mata tak berhenti mengalir

Oleh WAN SITI AMINAH

Pelawak dan penyampai radio, Jep Sepahtu baru-baru ini memuat naik gambar bersama dua orang anak lelakinya di akaun Instagram miliknya sempena hari ulang tahun kelahirannya yang ke-40.

Namun perkara yang lebih mencuri tumpuan orang ramai dalam hantaran berkenaan adalah penggunaan beberapa tanda pagar oleh Jep iaitu #AnakAbah, #AnakSyurga dan juga #Autisme.

Perkara itu seakan-akan memberi bayangan bahawa dua anak lelaki Jep iaitu Khidir dan Abu Bakar kini berhadapan dengan gangguan spektrum autisme (ASD) atau dikenali sebagai autisme.

Walau bagaimanapun, Jep atau nama sebenarnya Mohd Nadzri Zainal Abidin menyifatkan takdir tersebut sebagai hadiah paling bermakna di hari jadinya sehinggakan air matanya juga tidak berhenti mengalir.

Jep juga memaklumkan bahawa sangkaannya selama ini adalah benar namun tetap menganggapnya sebagai satu amanah yang sangat berharga daripada Tuhan selama bergelar seorang bapa.

“Hari ini genap usiaku yang ke-40 tahun. Baru sahaja tadi, aku mendapat hadiah yang membuatkan air mata ini tak berhenti mengalir. Syukur Alhamdulillah, di atas pemberian ini.

“Ternyata sangkaan baikku selama beberapa tahun ini akan terus menjadi sangkaan baik sepanjang hidup. Akan aku jaga amanah ini dengan penuh rasa syukur, cinta, kasih dan sayang. Khidir dan Abu Bakr seindah nama mu,” katanya dalam hantaran itu.

Sekadar info, Jep melangsungkan perkahwinan dengan pelakon iaitu Sari Yanti, 41, pada 25 Februari 2017 lalu dan pasangan itu dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Dariya Inara, 7, Muhammad Khidir, 5, dan Abu Bakr yang kini berusia 4 tahun.

Pemilik nama sebenar Sari Yanti Mohamad Nazari itu juga memiliki dua cahaya mata hasil daripada perkahwinan terdahulunya iaitu Barr Al-Aliy, 15, dan Baasit Al-Haq kini berusia 14 tahun.

Tinjauan mendapati orang ramai membanjiri ruangan komen perkongsian itu dengan ucapan hari jadi dan kata-kata semangat buat Jep.

Baca juga: Ratusan petani berhenti kerja, semua pakat jadi ‘influencer’ di TikTok