Jepun rancang adakan ujian untuk permohonan visa perkeja asing baharu

Jepun rancang adakan ujian untuk permohonan visa perkeja asing baharu

Kerajaan Jepun mempertimbangkan untuk menjalankan ujian saringan di tujuh negara asing bagi pemohonan baharu visa pekerja ladang, menurut sumber lapor Jiji Press pada Khamis.

Pada akhir 2017, terdapat 270,000 pelatih asing di Jepun dan 99 peratus adalah dari negara Vietnam, China, Filipina, Indonesia, Thailand, Kemboja dan Myanmar.

Oleh itu, kerajaan menjangkakan ramai rakyat dari negara berkenaan akan memohon visa kerja baharu tersebut.

Kerajaan akan membuat senarai pendek nama negara terbabit, di mana ujian akan dijalankan, selepas berunding dengan kerajaan masing-masing.

Ujian bakal dijalankan mengikut bahasa rasmi negara berkaitan untuk dua bidang pertanian dan ternakan.

Dianggarkan sehingga 7,300 warga asing akan bekerja di sektor pertanian pada tahun pertama sistem visa baharu diperkenalkan, manakala sehingga 36,500 lagi akan memohon dalam tempoh lima tahun pertama.

Jepun mensasarkan memperkenalkan sistem baharu itu pada April 2019 selepas rang undang-undang berkaitan diluluskan dalam sesi luar biasa yang sedang berlangsung hingga akhir 10 Disember.

Di samping itu, kerajaan Jepun turut mempertimbangkan mengadakan ujian di luar negara untuk visa perkeja asing di sektor pembinaan, perikanan dan lain-lain.

— BERNAMA