Malaysia Dateline

Jepun rancang hasilkan vaksin Covid-19 seawal tahun ini juga

Syarikat bioteknologi Jepun Takara Bio merancang untuk menghasilkan vaksinasi koronavirus seawal tahun ini juga dan memulakan ujian klinikalnya pada musim panas sekitar bulan Jun hingga Ogos.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Koichi Nakao berkata, Takara bakal bekerjasama dengan syarikat bio AnGes dan Universiti Osaka untuk mengembangkan vaksin DNA tersebut.

Dalam satu wawancara bersama Nikkei, Nakao berkata, seramai 200,000 orang bakal mendapat vaksin berkenaan pada musim luruh ini iaitu di antara bulan September hingga November.

“Namun, ianya hanya dapat diberikan kepada orang ramai sekiranya Kementerian Kesihatan Jepun meluluskan lesen pengeluaran dan penjualan.

“Vaksin tersebut akan dihasilkan di kilang utama Takara di kota Kusatsu, Shiga Prefecture.

“Sekiranya syarikat perubatan dapat menghasilkan vaksin secara besar-besaran, kerajaan boleh mulai melonggarkan sekatan pergerakan dan aktiviti perniagaan,” kata Nakao seperti yang dipetik portal berkenaan.

Pada masa sama, Nakao juga mengatakan bahawa peralatan untuk menghasilkan beratus-ratus vaksin yang diperlukan untuk percubaan itu sudah siap sepenuhnya.

Beliau juga mengatakan bahawa tiada masalah dengan produksi massa jika mereka menerapkan teknologi yang ada.