Malaysia Dateline

Jepun teruskan semula kegiatan tangkap ikan paus secara komersil

Jepun pada Isnin akan meneruskan kembali kegiatan menangkap ikan paus secara komersil, meskipun menerima kritikan pihak anti-ikan paus dan kumpulan alam sekitar, lapor agensi berita Xinhua.

Sebelum ini, pada Ahad Jepun memutuskan untuk menarik diri daripada Suruhanjaya Ikan Paus Antarabangsa (IWC).

Pengunduran Jepun dari IWC pertama kali terjadi dalam sejarah pasca perangnya dan selama ini melobi untuk memulakan aktiviti menangkap ikan paus secara komersil selepas hampir 30 tahun.

September lalu, mesyuarat tahunan IWC menolak cadangan Jepun itu, menyebabkan negara berkenaan mengancam menarik diri daripada organisasi antarabangsa terbabit.

Pada Isnin beberapa kapal penangkap ikan paus Jepun bersedia untuk meninggalkan bandar pelabuhan barat Shimonoseki, wilayah Yamaguchi.

Di utara bandar Kushiro, wilayah Hokkaido pula sebanyak lima kapal merancang untuk ke perairan berdekatan.

Menurut kerajaan Jepun, aktiviti menangkap ikan paus komersil hanya akan dilakukan di perairannya dan di zon ekonomi eksklusif mengikut kuota dan kaedah yang diguna pakai IWC.

— BERNAMA