Malaysia Dateline

Jerai Geopark berpotensi sebagai hub sukan paragliding

Jerai Geopark berpotensi untuk dijadikan sebagai hub sukan Paragliding bagi negeri Kedahh, Exco Belia dan Sukan, Pelancongan dan Seni Budaya, Pembangunan Usahawan Negeri Kedah, Asmirul Anuar Aris.

Malah katanya, penganjuran program luncur ini julung kalinya diadakan di Jerai Geopark mampu menjadi salah satu daya tarikan pelancongan ke negeri Kedah.

“Penganjuran program sempena Fiesta Paragliding Jerai Geopark ini merupakan aktiviti luncur yang amat menarik dan mampu menjadi daya tarikan pelancongan tempatan dan luar negara.

“Kerajaan negeri bersama-sama dengan Kelab Luncur Udara Jerai serta Persekutuan Sukan Udara Malaysia telah menganjurkan aktiviti ini bagi memperkenalkan tapak penerbangan paragliding yang telah dibuka sejak 2015 lagi.

“Selain itu usaha yang dijalankan pada kali ini juga bagi menarik minat serta mencari bakat baru dan pelapis bagi pertandingan paragliding sehingga ke peringkat antarabangsa, ” jelasnya.

Asmirul semasa Fiesta Paragliding Jerai Geopark semalam.

Asmirul yang juga merupakan Ketua Pemda AMANAH Negeri Kedah turut berkata, penganjuran program ini telah mendapat sokongan dan kerjasama banyak pihak termasuk Kelab Paramotor Utara Pulau Pinang.

Disamping itu ujarnya, ia turut disertai oleh seramai 80 peserta dari dalam dan juga luar negara termasuk Jerman dan Singapura.

“Program seumpama ini dapat memberi peluang kepada penduduk tempatan untuk mempelopori sukan ini serta memperkenalkan Jerai Geopark sebagai salah satu destinasi pelancongan yang menarik.

“Ia juga boleh dijadikan aktiviti tahunan dan dimasukkan dalam kalendar pelancongan negeri Kedah.

“Kita sedia membantu bagi memajukan tapak dan sukan paragliding ini sehingga diiktiraf ke peringkat antarabangsa serta mengalu-alukan penduduk tempatan termasuk dalam kawasan Parlimen Jerai untuk merealisasikan hasrat tersebut, ” tegas beliau lagi.