Malaysia Dateline

Jerebu: Jumlah pesakit mata meningkat

 

Ketua Perkhidmatan Oftalmologi Kementerian Kesihatan, Dr Nor Fariza Ngah, hari ini memaklumkan, terdapat peningkatan 20 hingga 30 peratus pesakit berkaitan penyakit konjunktivitis (mata) di 42 hospital kerajaan seluruh negara akibat kesan jerebu teruk yang melanda negara.

Namun Dr Nor Fariza berkata,berkata peningkatan itu adalah keadaan biasa setiap kali musim jerebu melanda negara.

“Kita mendapati peningkatan 20 hingga 30 peratus pesakit di klinik mata kerajaan bagi mendapatkan rawatan mata akibat jerebu.

“Sebagai contoh di Hospital Shah Alam sahaja, beza bulan lalu dan bulan ini, kes berganda daripada 40 kes kepada 80 kes sehari yang datang dengan masalah konjunktivitis.

“Tetapi kami sentiasa bersedia dengan keadaan ini kerana mengetahui masalah ini berlaku setiap tahun,” katanya pada sidang media di Majlis Hari Keselamatan Pesakit Sedunia Yang Pertama dan Seminar Keselamatan Pesakit.

Majlis itu dilancarkan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad di sebuah hotel, di Putrajaya hari ini.

Dalam pada itu, Dr Nor Fariza berkata, pesakit yang mengalami simptom sakit mata seperti mata gatal dan kering kebiasaanya akan datang berjumpa doktor.

“Selalunya, pesakit mengalami gejala mata kering dan mereka akan membeli ubatan sendiri, namun apabila masalah berlarutan sehingga mata mengalami gatal dan kemerahan baru mereka akan datang rujuk kepada klinik mata kerajaan,” katanya.

Sementara itu Dr Dzulkefly berkata, fasiliti kesihatan di seluruh negara sentiasa bersiap siaga dalam menangani peningkatan mendadak pesakit akibat jerebu.

“Selain itu dari semasa ke semasa Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah akan memberi kenyataan berkaitan jerebu termasuk di laman Facebooknya,” katanya.

Menurut laporan media tempatan semalam, sebanyak 145 sekolah di daerah Sepang, Hulu Langat, Kuala Langat, Klang dan Petaling Perdana akan ditutup hari ini akibat keadaan jerebu yang semakin serius di Selangor.

Kementerian Pendidikan, dalam kenyataan malam tadi, memaklumkan penutupan sekolah itu membabitkan 23 sekolah di Sepang, 36 (Hulu Langat), 21 (Kuala Langat), 27 (Klang) dan 38 sekolah di Petaling Perdana.

“Seramai 187,928 pelajar terbabit dalam penutupan sekolah esok dan sebarang perubahan atau maklumat terbaru akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

“Pihak sekolah sudah diingatkan untuk mengikut prosedur operasi standard yang ditetapkan dan mengutamakan kesihatan murid dan guru sepanjang masa,” kata kenyataan itu.