Jerebu: Kerajaan Pulau Pinang edar 100,000 ‘face mask’

Jerebu: Kerajaan Pulau Pinang edar 100,000 ‘face mask’

Ekoran bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang semakin meningkat di Pulau Pinang, sebanyak 100,000 pelitup atau ‘face mask’ akan diserahkan dengan segera kepada semua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) untuk diedarkan ke kawasan masing-masing.

Demikian dinyatakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar Pulau Pinang, Phee Boon Poh.

Menurut beliau lagi, kerajaan negeri telah mengambil keputusan supaya semua Adun mengedarkan pelitup tersebut dengan kadar yang segera khususnya kanak-kanak dan warga emas.

Malah katanya, kerajaan negeri tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap sesiapa sahaja yang menjadi penyumbang kepada keadaan jerebu.

“Tindakan tegas akan diambil kepada sesiapa sahaja yang cuba memburukkan lagi keadaan jerebu di negeri ini.

“Kerajaan negeri tidak akan bertolak ansur dan akan mengenakan kompaun sehingga RM500 ribu kepada sesiapa sahaja yang didapati membuat pembakaran sampah komersial secara terbuka.

“Pemain industri dan para pemaju telah dinasihatkan supaya mematuhi langkah-langkah yang kawalan semasa jerebu, ” ujarnya.

Tambahnya, orang ramai harus mematuhi langkah-langkah yang telah digariskan oleh Kementerian Kesihatan mengenai situasi jerebu kini.

Kelmarin Kementerian Kesihatan telah menyarankan beberapa langkah yang perlu diambil bagi menghadapi keadaan jerebu yang sedang melanda negara tatkala ini.

Antaranya ialah mengelakkan aktiviti fizikal diluar dan menangguhkan penganjuran aktiviti fizikal diluar bangunan sekiranya IPU mencecah melebihi 100 serta mengelakkan aktiviti yang boleh meningkatkan pencemaran udara termasuk tidak merokok, melakukan pembakaran terbuka dan membersihkan persekitaran dalaman.

Selain itu tindakan yang harus dilakukan ialah banyakkan meminum air kosong dan mengawasi mereka yang menghidapi penyakit respiratori dan jantung serta mengawasi anak-anak kecil.