Malaysia Dateline

Jerebu: Kerosakan alam yang gagal dikawal, kata Mapim

Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) memandang serius gejala jerebu yang kini semakin parah melanda negara kini.

Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, sekali lagi pencemaran udara toksid ini telah diketahui jenis dan sumber berlakunya pencemaran namun pencegahannya gagal dilaksanakan dengan berkesan.

“Pada 1997 jerebu amat buruk telah melanda rantau ini sehingga Persetujuan Asean atau ‘Asean Agreement’ telah dimeterai antara anggota negara mengenai pencemaran jerebu merentas sempadan pada tahun 2002.

Mohd Azmi Hamid

“Kini sekali lagi pada 2019, negara dilanda gejala yang sama dan serius, sehinggakan pihak berwajib tidak dapat mengawal pencemaran jerebu toksid merentas sempadan.

“Persoalannya ialah apa yang telah terjadi kepada mekanisme kawalan yang dimeterai dalam ‘Asean Agreement’ tersebut?,” soal beliau.

Beliau juga berkata, ini bukan kali pertama ianya berlaku kerana hampir saban tahun pembakaran ladang oleh syarikat perladangan kelapa sawit dilakukan serta diketahui menghasilkan jerebu.

Namun begitu ujarnya, ketelusan untuk menguatkuasakan peraturan nampaknya tidak ada.

“Syarikat perladangan yang beroperasi di luar negara belum cukup dipantau sehingga punca sebenar jerebu separah sekarang belum dapat diitangani.

“Malaysia turut belum mempunyai mekanisme perundangan mengawal pencemaran merentas sempadan.

“Lantaran itu ‘Asean Agreement’ dilihat hanya setakat pernyataan di atas kertas sahaja, sedangkan suatu peraturan diperingkat dalam negara yang dapat menangani isu jerebu dan puncanya harus diwujudkan, ” tegas beliau.

Malah katanya, pencemaran jerebu tersebut telah mengakibatkan lebih 1000 sekolah ditutup beberapa hari yang lalu terutamanya di Sarawak dan beberapa buah negeri di Semenanjung.

Tambah beliau, situasi ini belum pernah terjadi sehinggakan pembacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) mencecah melebih 200 di beberapa buah kawasan dan menyebabkan negara terpaksa berada dalam keadaan berjaga-jaga sebelum mengisytiharkan bencana alam.

“Berdasarkan cerapan IPU oleh World Air Quality Index (WAQI) pada Rabu, 6.20 pagi, Malaysia mencatat bacaan IPU 266.

“Ia merupakan bacaan tertinggi dunia setelah diikuti oleh Afrika Selatan (217), Indonesia (207), India (194) dan China (178).

“Secara jelas isu ini membuktikan bahawa ia perlu ditangani di peringkat ASEAN yang melibatkan punca fizikal, perundangan serta politik,” katanya.

Menurut Mohd Azmi lagi, wawasan ASEAN bagi rantau bebas jerebu menjelang 2020 memerlukan keazaman politik yang tinggi untuk dicapai dikalangan negara anggota.

Ia juga berkata, ketelusan dan integriti menjadi isu yang sering dipertikaikan oleh awam apabila dikaitkan dengan kemahuan politik pemimpin negara serta ketegasan bertindak dikalangan penguatkuasa.

“Bukan sahaja komitmen setiap negara diperlukan, sebaliknya mekanisme penguatkuasaan secara undang-undang perlu diwujudkan.

“Tiada gunanya hanya menyatakan komitmen tanpa ada mekanisme yang telus, berintegriti dan berkesan.

“Pemerintah negara terlibat perlu bertindak hatta terhadap syarikat luar yang menjadi pemilik syarikat juga,” saran beliau.

Sarannya, tindakan berkesan supaya jerebu tidak berulang dirantau ini adalah dengan mekanisme pemantauan dan penguatkuasaan yang berkesan hendaklah diimplementasikan.

“Lebih 4000 titik panas dikesan di kawasan tengah dan barat Indonesia serta memperlihatkan betapa kesan pembakaran merebak luas di kawasan berkaitan.

“Tindakan kerajaan Indonesia sepertimana dilaporkan menyita ladang termasuk konsesi milik syarikat asing berhubung pembakaran terbuka amat dialu-alukan.

“Yang penting ialah punca masalah dikenalpasti dan saling tuduh menuduh harus dielakkan,” tegasnya.

Kata beliau, inisiatif melindungi hutan dan kawasan tanah yang mudah terbakar hendaklah dilaksanakan seperti dalam memorandum persefahaman antara kedua-dua negara berhubung penggunaan tanah dan latihan pengurusan kebakaran.

Jelasnya, apa yang berlaku di Amerika Latin perlu diambil pengajaran setelah ribuan hektar hutan musnah dan membawa kesan kepada perubahan cuaca dunia.

Sejajar dengan itu ujarnya, sebagai negara Islam, Malaysia dan Indonesia perlu ada kesedaran untuk menghindari petaka yang berpunca dari kerakusan dan ketamakan manusia sehingga merosakkan alam.