Malaysia Dateline

Jerebu: Mahasiswa tuntut diberi perhatian sama dengan penutupan sekolah

Susulan penutupan ratusan buah sekolah di beberapa negeri ekoran jerebu yang melanda di Semenanjung, Sabah dan Sarawak, Kementerian Pendidikan turut digesa memikirkan keadaan sama yang dihadapi oleh golongan mahasiswa yang turut terkesan.

Setiausaha Agung Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) Ahmad Farhan Rosli berkata, pihak Kementerian wajar memberi perhatian kepada mahasiswa dan komuniti di universiti yang turut terkesan dengan masalah jerebu yang melanda negara.

“Perhatian harus diberikan kepada keadaan universiti berada lokasi yang terjejas teruk dengan kadar bacaan IPU yang makin meningkat.

“Dalam masa yang sama, para mahasiswa diseru mematuhi garis panduan yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebagai langkah berjaga-jaga menghadapi masalah jerebu yang sedang melanda negara ketika ini,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Perkembangan terkini keadaan jerebu yang melanda negara telah bertambah buruk dengan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di banyak lokasi di seluruh negara berada dalam keadaan yang tidak sihat dan berbahaya.

Berdasarkan laporan portal Jabatan Alam Sekitar, setakat jam 10 pagi ini dilaporkan sebanyak 24 stesen mencatatkan bacaan sederhana, 35 stesen mencatatkan bacaan tidak sihat dan 8 stesen mencatatkan bacaan sangat tidak sihat.

Dalam perkembangan berkaitan, laporan terkini media sebanyak 648 buah sekolah di empat buah negeri (Selangor, Negeri Sembilan, Sarawak, Putrajaya) telah ditutup sebagai langkah-langkah berjaga.

Di Pulau Pinang 162 buah sekolah ditutup dan di Perak 265 buah sekolah ditutup.

Jumlah dijangka bertambah berdasarkan beberapa langkah terkini yang diambil Jabatan Pendidikan Perak dan tambahan penutupan sekolah di negeri Selangor.

Indesk Pencemaran Udara setakat jam 10 pagi menunjukkan bacaan sekitar 199 sehingga 261 iaitu tidak sihat dan sangat tidak menyihatkan.