Malaysia Dateline

Jerman minta Turki bertindak dengan lebih berhati-hati, bertanggungjawab dalam isu Syria

Canselor Jerman, Angela Merkel, dalam satu perbualan telefon, telah meminta Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan, agar bertindak dengan lebih berhati-hati dan bertanggungjawab susulan keputusan Amerika Syarikat (AS) mengundurkan tenteranya dari Syria, lapor agensi berita China Xinhua.

Menurut satu kenyataan oleh Canselor Jerman itu, fokus perbualan adalah mengenai isu Syria.

Kedua-dua pihak telah menegaskan kepentingan proses politik yang diterajui Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dalam usaha menghentikan konflik di Syria.

Meskipun kumpulan militan Daesh telah ditewaskan, ia kekal menjadi satu ancaman ketara yang memerlukan perhatian lanjut, menurut kenyataan itu.

Merkel menghargai peranan Turki, terutama dalam menampung pelarian Syria dan melahirkan harapan agar Turki akan bertindak dengan lebih berhati-hati dan bertanggungjawab terhadap pengumuman pengunduran tentera AS dari Syria.

Perbualan telefon itu berlaku selepas pentadbiran Presiden Donald Trump mengumumkan pada 19 Dis bahawa ia bercadang mengundurkan tenteranya dari Syria selepas mendakwa meraih kemenangan terhadap kumpulan militan Daesh.

— BERNAMA