Jerman tarik balik lesen syarikat penerbangan Iran, Mahan Air

Jerman tarik balik lesen syarikat penerbangan Iran, Mahan Air
Foto: AP

Jerman menarik balik lesen syarikat penerbangan Iran, Mahan Air serta-merta atas alasan keselamatan, lapor agensi berita Xinhua memetik jurucakap Kementerian Luar.

Keputusan itu perlu diambil demi memelihara kepentingan dasar asing dan keselamatan negara, kata Christofer Burger kepada pemberita pada sidang media Isnin.

Langkah itu dipercayai susulan terdapatnya banyak bukti mengenai kegiatan perisikan Iran di Eropah.

Mahan Air berpangkalan di Tehran mula beroperasi pada 1992, merupakan syarikat penerbangan swasta pertama di negara Timur Tengah.

Syarikat itu menyediakan perkhidmatan ke beberapa negara Eropah termasuk Perancis, Itali dan Sepanyol selain empat penerbangan ke bandar-bandar Jerman setiap minggu.

Langkah itu diambil ketika Amerika Syarikat (AS) memberikan tekanan hebat kepada sekutu Eropahnya untuk mengembalikan sekatan ke atas Iran.

Selepas Presiden Donald Trump mengambil keputusan menarik diri dari Pelan Tindakan Komprehensif Bersama berhubung program nuklear Iran selain mengenakan semula sekatan ke atas negara terbabit.

Jurucakap Kerajaan Jerman Steffen Seibert bagaimanapun menafikan keputusan yang diambil itu kerana menerima tekanan AS, sebaliknya ia berdasarkan pertimbangan keperluan keselamatan negara.-BERNAMA