Malaysia Dateline

Jerman tidak iktiraf UEC

Ketika kerajaan Malaysia diasak supaya mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersama atau Unified Examination Certificate (UEC), Jerman sama sekali menolak kelayakan sijil Sekolah Menengah Persendirian Cina itu.

Hal tersebut ditegaskan dalam laman Facebook German Educare yang membantu persiapan pelajar untuk menyambung pengajian di negara yang terletak di Eropah Tengah itu.

Malah, German Educare menyenaraikan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang merupakan produk pendidikan kebangsaan negara ini sebagai kelayakan yang diiktiraf untuk ke universiti di negara itu.

Reaksi German Educare itu sekali gus menyaksikan STPM sebaris dengan program pra-universiti di negara maju.

“UEC tidak diiktiraf di German. Hanya A Level, Ausmat (Australian Matriculation), CIMP (Canadian International Matriculation Programme),¬†STPM atau IB (International Baccalaureate) diiktiraf,” kata German Educare yang menjawab soalan pengguna Facebook, Sharen Lwp.

STPM sebaris dengan program pra-universiti di negara maju manakala UEC tidak diiktiraf di Jerman.

Turut dimaklumkan bahawa setiap kelayakan pra-universiti itu juga harus memenuhi keperluan gabungan subjek yang ditetapkan.

Terdahulu, Sharen bertanyakan tentang kedudukan pelajar UEC untuk kelayakan menyambung pengajian di Jerman.

German Educare membantu pelajar daripada segi semakan kelayakan, mengatur kelas bahasa Jerman di Malaysia, bantuan selepas ketibaan, bengkel antara budaya serta khidmat sokongan tempatan di Jerman.

Keratan soalan Sharen dan reaksi German Educare yang berpangkalan di Petaling Jaya, Selangor itu tular media sosial.