Malaysia Dateline

Jersey baru Kedah tajam kembang meletup, syabas MB Kedah

Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Seri Mahfuz Omar menyindir Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor yang mempromosi jersi terbaru pasukan bola sepak negeri itu dengan menggunakan model wanita yang tidak menutup aurat.

Beliau membangkitkan bagaimana Pas semasa pentadbiran Pakatan Harapan (PH) dahulu lantang mengkritik pramugari di syarikat-syarikat penerbangan yang tidak menutup aurat.

Namun hari ini, Menteri Pas sendiri dikatakan mempromosi jersi bola sepak menggunakan model wanita seksi.

“Saya ucapkan syabas kepada Presiden Persatuan Bola sepak Kedah (KFA) yang juga Menteri Besar Kedah, kerana berjaya membawa satu perubahan daripada pondok Tuan Guru Haji Salleh di Sik kepada satu pemikiran baru iaitu membawa wanita cantik dan seksi memperomosikan jersi Kedah.

“Dulu pemimpin-pemimpin Pas begitu lantang mengkritik bagaimana syarikat-syarikat penerbangan tidak memberikan ruang kepada pramugari untuk menutup aurat.

“Tapi hari ini saya percaya MB Kedah berjaya membawa satu anjakan paradigma baru kepada pemimpin-pemimpin Pas termasuk daripada pondok-pondok seluruh negeri Kedah untuk menerima hakikat bahawa hari ini adalah dunia moden, kita perlukan wanita cantik dan seksi mempromosikan jersi baru,” katanya sinis dalam satu klip video di Facebooknya hari ini.

Terdahulu, pelancaran jersi bola sepak KDA FC yang dilancarkan baru-baru ini mendapat kritikan dari penyokong pasukan dari utara tanah air itu dan tidak terlepas, kritikan terhadap Sanusi yang juga Pesiden KFA.

Imej wanita yang tidak bertudung, serta menggayakan baju jersi pasukan KDA FC dalam gaya yang seksi turut menjadi kritikan penyokong pasukan Kedah.

Beberapa pihak juga mempersoalkan sama ada Sanusi tidak melihat video pelancaran tersebut dan sebenarnya beliau bersetuju mengeksploitasi wanita dalam iklan milik KDA FC itu.