Jet mewah RM2.6b ‘mendarat’ di Kuala Kangsar

Jet mewah RM2.6b ‘mendarat’ di Kuala Kangsar

Ceramah Pakatan Harapan di Kuala Kangsar yang dihadiri lebih 500 orang malam tadi dikejutkan dengan “pendaratan” sebuah jet peribadi bernombor siri RM2-6B – merujuk kepada wang RM2.6 bilion – di hadapan pentas utama di perkarangan Pejabat Amanah di sini.

Kehadiran jet itu dengan diusung oleh tujuh pemuda, bermula dari jalan utama Daeng Selili, kemudian melalui celah-celah hadirin menggamit suasana seketika.

Model jet peribadi diletakkan di pentas ceramah.Ia sebagai gimik kepada isu utama yang akan dibawa oleh Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli iaitu berkenaan jet peribadi yang digunakan isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor.

Sementara itu dalam ucapannya, Rafizi berkata beliau tidak takut untuk berhadapan dengan sesiapapun dalam isu jet mewah itu.

Namun katanya, biarlah orang yang hendak berhadapan itu sama ada Rosmah sendiri atau paling kurang Datuk Seri Najib Razak yang disifatkannya sebagai “pembantu Rosmah paling kanan”.

“Saya sanggup dan alukan kalau nak debat, tapi nak debat dengan Rosmah sendiri lah. Saya nak tanya apa yang dia bawa dalam beg itu.

“Kalau Rosmah tak nak, paling kurang saya boleh berdebat dengan pembantu Rosmah paling kanan, bukan Rizal Mansor yang tolong angkat beg Rosmah.

“Siapa paling kanan? Najib Razak lah,” katanya sambil menambah bersedia berdebat di mana-mana dan pada bila-bila masa.

Ahli Parlimen Pandan itu berkata demikian sebagai jawapan balas terhadap kenyataan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bahawa beliau takut kepada pegawai khas isteri perdana menteri, Datuk Rizal Mansor.

Ini ekoran tindakan Rafizi yang tidak membenarkan Rizal hadir pada sidang medianya semalam.

Ceramah Rafizi tentang jet mewah disewa kerajaan BN ditunggu-tunggu ramai.

COMMENTS

Wordpress (0)