Jho Low akan ditangkap sedikit masa lagi, kata Muhyiddin

 

Individu terpenting dan utama bagi membantu siasatan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Jho Low akan ditangkap selepas beberapa maklumat tepat diperoleh.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pihaknya sedang menunggu maklumat berkaitan sebelum memutuskan untuk menangkap dan mendakwa individu yang terbabit dalam jenayah pengubahan wang haram itu.

Beliau berkata, semua sudah maklum bahawa Jho Low adalah penjenayah utama yang menjadikan skandal 1MDB sebagai skandal terbesar dunia tetapi ada perkara yang perlu diselesaikan terlebih dahulu sebelum sebarang tindakan seterusnya diambil.

“Ada orang tanya saya kenapa Tan Sri tidak tangkap Jho Low. Saya jawab, kita sedang menunggu untuk mendapat maklumat tepat.

“Tunggu sedikit masa lagi. Saya sedar ada pihak tidak mahu tunggu dan mereka mahu tindakan tegas diambil segera terhadap individu berkenaan,” katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri di Putrajaya hari ini.

Menurutnya, beliau juga sedar rakyat sedang mempersoalkan tindakan terhadap isu tersebut selepas tiga minggu kerajaan Pakatan Harapan (PH) mentadbir negara.

Muhyiddin berkata, pihaknya mahu mendahului undang-undang tetapi pada masa sama mahu Jho Low diambil tindakan tegas mengikut undang-undang kanun jenayah dan rasuah.

Menurutnya, sebarang usaha untuk mengheret individu yang turut dinamakan dalam saman sivil Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DoJ) itu ke mahkamah perlu disegerakan dan tidak boleh diketepikan.

“Kita juga perlu membantu pelbagai pihak termasuk Pasukan Petugas Khas 1MDB bagi melengkapkan siasatan. Kita perlu beri sepenuh kerjasama untuk bertindak terhadap pihak terbabit tanpa mengira bulu dan warna,” jelasnya.

Sebelum ini, Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan, Tun Daim Zainuddin, pada 18 Mei lalu menuntut Jho Low pulang ke Malaysia bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Pemilik nama Low Taek Jho dari Pulau Pinang itu dikatakan rakan kepada Riza Aziz iaitu anak tiri Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Pada 27 Februari lalu, sebuah kapal persiaran mewah Equanimity yang diburu DoJ telah dirampas oleh pihak berkuasa Indonesia di Bali.

Rampasan kapal mewah itu dilihat menjadi bukti penting wujudnya jenayah pengubahan wang haram melibatkan Jho Low yang terbabit menyeleweng berbilion dolar dana 1MDB.

9.0
OVERALL SCORE
: 10.0
1 user vote x 8.0
CATEGORIES
TAGS