Malaysia Dateline

Jho Low, Nicky Liow belum masuk senarai Interpol

Jho Low dan pengasas Winner Dynasty Group, Datuk Seri Nicky Liow Soon Hee belum dimasukkan ke dalam senarai Notis Merah oleh Interpol (Polis Antarabangsa).

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, nama ahli perniagaan dalam buruan itu dan Nicky Liow masih tidak dimasukkan dalam senarai individu dikehendaki walaupun Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuat permohonan Notis Merah itu.

“Saya akan dapatkan pengesahan dari PJSJ (Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Abd Jalil Hassan) kerana permohonan Notis Merah dalam Interpol perlu memenuhi beberapa protokol,” lapor BH.

Jho Low atau nama sebenarnya Low Teak Jho menjadi buruan ekoran skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), manakala Nicky berhubung jenayah terancang antarabangsa, Macau Scam.

Sebelum ini, PDRM masih belum dapat mengesan Nicky kerana dipercayai cuba melarikan diri dengan bantuan anggota agensi penguatkuasa yang dikesan bersekongkol dengannnya.