Jho Low tidak rugi walau setuju serah semua aset kepada DoJ

Jho Low tidak rugi walau setuju serah semua aset kepada DoJ

Ahli perniagaan kontroversi, Jho Low dikatakan bersetuju menyerahkan semua aset miliknya kepada Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat (AS), lapor portal Sarawak Report.

Walau bagaimanapun, tindakan Jho Low yang dikaitkan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) itu, tidak akan memberi sebarang kerugian kepadanya.

Sebaliknya, semua aset yang diserahkan kepada DoJ dipercayai mengalami penurunan harga antaranya hartanah di New York, AS, pesawat peribadi di Singapura dan kapal layar mewah, Equanimity.

“Disaat semua aset milik Jho Low mula bertukar menjadi liabiliti, beliau bertindak menyerahkannya kepada pihak berkuasa,” katanya.

Pendedahan itu dibuat selepas Jho Low menggugurkan tuntutannya terhadap Hotel Park Lane di New York dan membenarkan hartanah itu dijual kepada syarikat pelabur Mubadala yang dimiliki oleh kerajaan Abu Dhabi.

Hotel mewah itu antara aset di AS yang dipercayai dibeli oleh Jho Low pada harga AS$654 juta bagi mendapatkan 85 peratus pemilikan dengan menggunakan wang 1MDB.