‘Jihad Inflasi PM masih tidur lagikah? Harga barang masih mahal, inflasi pula terus naik’

Oleh NASUHA RAHMAN

Kadar inflasi utama negara kini naik lagi ke paras 4.4 peratus pada bulan Julai dan ianya adalah peningkatan empat bulan berturut-turut.

Lebih parah lagi, apabila inflasi makanan mencapai paras tertinggi dalam sejarah iaitu 6.9 peratus sepertimana yang dilaporkan oleh MIDF Research.

Pengerusi Biro Pengguna, Pertanian dan Luar Bandar AMANAH Nasional, Faiz Fadzil berkata, harga barang makanan yang masih mahal menunjukkan pasukan khas Jihad Inflasi gagal dan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 31 Ogos kononnya pasukan khas tersebut berjaya menurunkan harga barang adalah cakap-cakap politik sahaja.

'Jihad Inflasi PM masih tidur lagikah? Harga barang masih mahal, inflasi pula terus naik'

Kata beliau, keadaan ini membimbangkan kerana pakar-pakar ekonomi menjangkakan pertumbuhan ekonomi Malaysia akan lebih perlahan dalam tempoh Julai hingga Disember 2022.

Keadaan ini juga jelas nya, tidak akan banyak berubah pada tahun hadapan dan persoalan yang timbul ialah bagaimana rakyat mampu hadapi inflasi sekiranya ekonomi masih lembab.

“Sudah genap dua bulan, pasukan khas Jihad Inflasi yang ditubuhkan bawah pimpinan Tan Sri Annuar Musa ternyata gagal apabila kerajaan BN-Bersatu-Pas gagal menguruskan ekonomi dengan baik.

” Di manakah solusi atau pelan tindakan komprehensif untuk tangani inflasi oleh pasukan khas Jihad Inflasi atau pun mereka masih lagi nyenyak tidur.

“Ketika Pakatan Harapan (PH) mentadbir, inflasi makanan tidak pernah mencecah 6.9 peratus seperti sekarang. Malahan kadar paling tinggi pun adalah 2.6 peratus dan jauh lebih rendah dibandingkan dengan kadar sekarang,” ujar beliau.

Tambah Faiz, sepanjang pentadbiran PH kadar inflasi makanan yang direkodkan sebelum ini melebihi 2 peratus hanya untuk empat bulan sahaja dan kadar inflasi makanan paling rendah ketika zaman PH adalah 0.4 peratus.

Sehubungan itu tegas beliau, Annuar Musa harus menjelaskan apakah tindakan segera yang akan diperkenalkan memandangkan inflasi makanan berada pada tahap tertinggi dalam sejarah.

Tegasnya lagi, setelah dua bulan bermesyuarat, masih tidak ada apa jua langkah efektif yang diumumkan.

Oleh itu jelas Faiz, kerajaan digesa supaya meneliti dengan segera keperluan bantuan tunai khas atau pun ‘digital food voucher’ bagi membantu mengurangkan beban golongan B40 dan M40 yang dicadangkan sebelum ini bagi meringankan beban rakyat.

Baca juga: Rosmah ada dua peluang untuk merayu

Baca juga: Wanita enggan teruskan hubungan cinta ditetak, ditikam teman lelaki kerana terlalu marah