Malaysia Dateline

Jika agama ‘terbang’ PH lebih teruk daripada BN, kata Nik Abduh

Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz hari ini, membidas ahli dan penyokong Pas yang marah apabila beliau mengakui Pas mendorong ahlinya mengundi calon BN pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Kandis pada 4 Ogos depan.

Ahli Parlimen Bachok itu juga mempersoalkan kembali kepada ahli dan penyokong Pas sekiranya ahli dan penyokong BN pula yang akan mengundi Pas?

“Saya tanya, adakah anda akan marah jika esok hari ahli dan penyokong BN pula akan mengundi Pas?

“Demi perut, berfikirlah untuk hari ini. Tetapi demi negara, berfikirlah untuk hari esok. Politik adalah untuk agama dan negara, bukan untuk perut dan nafsu.

“Satu lagi, janganlah kalut ‘hifz al mal’ sampai terbang habis ‘hifz ad din’.

“Negara kita perlu kekuatan agama lebih daripada segalanya. Agama pasti menjaga ekonomi negara dengan sempurna.

“PH akan jadi lebih teruk daripada BN jika agama terbang,” ujarnya dalam kenyataan di facebooknya hari ini.

Beliau turut memuat naik sebuah hadis yang membawa maksud: “Jagalah Allah, pasti Allah akan menjagamu.”

Sebelum ini keputusan Pas tidak bertanding pada PRK itu mewujudkan polemik kepada ahli berhubung siapakah calon yang harus mereka undi.

Bagaimanapun, Pas turut membuat pendirian tidak akan membantu calon BN berkempen dalam PRK itu.

Kata Nik Abduh lagi, ada yang marah apabila beliau berkata Pas semacam mendorong ahli dan penyokongnya mengundi BN di PRK Sungai Kandis.

Nik Abduh dalam statusnya pada Rabu berkata, susulan terdapat dakwaan yang tindakan Pas tidak bertanding dalam PRK Sungai Kandis hanya berusaha untuk menghidupkan Umno selain didakwa hanya bersandiwara.

Nik Mohamad Abduh turut berkata, Pas yakin dengan kebijaksanan ahlinya dalam membuat pilihan dan mengundi yang terbaik.

Katanya, ahli Pas tahu dengan kewajipan mengundi untuk memilih pemimpin yang baik menerajui negara.

“Arahan Pas adalah menolak kerajaan PH. Sikap dan pendirian Pas terhadap PH adalah sama, sama ada sebelum atau selepas PRU-14, iaitu menolak PH.

“Bagi Pas, PH bukanlah pilihan terbaik untuk menggantikan BN. Keadaan ekonomi dan sektor lain yang tidak stabil selepas PRU-14 semakin membuktikan benarnya pendirian Pas,” katanya.

Beliau mendakwa, kegagalan awal kerajaan PH untuk mengotakan janji awal manifestonya menjadi hujah untuk rakyat menolak kerajaan PH hari ini.

Tiga calon bakal berentap dalam PRK Sungai Kandis pada 4 Ogos ini membabitkan pertembungan di antara calon PKR, Mohd Zawawi Ahmad Mughni, calon BN Datuk Lokman Noor Adam dan calon Bebas, K Murthy.