Malaysia Dateline

Jika anak jantan jangan delete berita ini, cabar Hanipa

Bekas timbalan menteri (Undang-undang), Mohamed Hanipa Maidin mencabar lidah rasmi Pas, Harakahdaily agar tidak memadamkan berita bertajuk ” Husam: PAN parti diktator” sebagaimana yang selalu dibuatnya sebelum ini.

“Bagi pihak yang terbit berita ni, jika anak jantan, harap selepas ini tak akan berlaku fenomena “error 404” bila ada pembaca yang nak cari berita ni selepas ini.

“Saya yakin anak jantan yang berbangga berjuang atas wadah Islam, sudah tentu dah bersedia nak terima saman dari peguam insyaAllah.. ” tulis Hanipa, yang merupakan seorang peguam, dalam facebooknya.

Hanipa mengulas laporan Harakahdaily berdasarkan kepada tajuknya bahawa Husam mendakwa AMANAH adalah parti diktator.

Sebelum ini, menjadi tradisi lidah rasmi Pas ini akan memadamkan berita yang mereka siarkan jika ia dibantah oleh Pas atau tidak disenangi oleh sesetengah pihak.

Antara berita yang dipadamkan adalah cadangan Pas Wilayah Persekutuan agar semua pemimin Pas diberikan jawatan datuk.

Menurut Hanipa, beliau sebenarnya tidak bercadang untuk menulis lagi di facebook sehingga habis bulan Muharam ini.

“Tapi maaf saya terpaksa langgar pantang tu,” tulis Hanipa.

“Let me remind kepada mereka yang terbabit dalam penerbitan berita harakahdaily ni.

“Sila kumpul stamina dan nafas panjang untuk mungkin berhadapan dengan saman fitnah di mahkamah,” kata Hanipa.

Beliau juga berkata, buat masa ini beliau tidak bercadang untuk memperbaharui lesen praktik undang-undang beliau, “But , we never know in future. Anyway peguam parti Amanah pun, alhamdulillah dah makin ramai sekarang.”

Bagi dirinya, Hanipa berkata, beliau sudah lama tidak membuat soalan balas dalam kandang mahkamah ni.

“Rindu juga. Hampir 25 tahun sebelum jadi Timbalan Menteri dulu, itu lah boleh dikatakan kerja rutin saya,” kata Hanipa sambil melampir berita tentang cara beliau membuat soalan balas di mahkamah sehingga menghasilkan banyak berita di media.