Malaysia Dateline

Jika anda orang Malaysia, jangan mengada sebut ‘Ring-it’

Penyanyi Adibah Noor pelik dengan cara sebutan penyampai di stesen radio bahasa Inggeris tempatan apabila menggunakan slang yang tidak kena.

Beliau yang pernah menjadi guru Bahasa Inggeris selama dua tahun di sebuah sekolah di Petaling Jaya itu mengaku adakala tidak faham apabila mendengar stesen radio berbahasa Inggeris tempatan.

Sebutan macam ‘orang putih’ memang menjadi perangai sesetengah penyampai di stesen radio.

Lulusan Bahasa Kedua dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu merujuk kepada sebutan perkataan ‘Ringgit’ penyampai terbabit yang disifatkan mengada-ngada.

Padahal, penyampai itu dibesarkan di Malaysia dan tahu cara sebutan sebenarnya.

Adibah Noor  'Ring-it' Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun
Adibah Noor

“Kadang-kadang tak faham apabila dengar stesen radio berbahasa Inggeris. Jika anda orang Malaysia dan bukan berasal dari luar negara, jangan nak mengada-ngada sebut ‘Ring-it’ sedangkan sebutan sebenar ‘Ringgit’.

“Dari kecil lagi sudah sebut Ringgit. Hanya kerana jadi penyampai radio bahasa Inggeris tak boleh sebut Ringgit,” sindir Adibah menerusi hantaran video di Instagram.

Sebelum ini, pelantun lagu Terlalu Istimewa tersebut pernah menegur ucapan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun yang silap menyebut ‘doubt’ (keraguan) dengan betul semasa berucap di sesi ke-59 Suruhanjaya Pembangunan Sosial (CsosD59) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, New York di Amerika Syarikat.

“Cara nak sebutnya hilangkan bunyi ‘b’…’dout’, tak payah ‘b’ tu.

“Sama juga ‘debt’ (hutang) bukan ‘deb’ tetapi ‘det’…’dout’, ‘det’, praktik,” kata Adibah dalam video berdurasi 54 saat di Twitter.

Selain itu, pelakon dan pengacara tersebut turut membetulkan kesalahan sebutan dilakukan penyampai berita sebelum ini.

Walaupun ada yang mengkritik tindakannya, Adibah berkata, dia tidak akan berhenti untuk berkongsi ilmu dengan khalayak mengenai cara sebutan Bahasa Inggeris yang betul.

“Tujuan dan niat saya adalah untuk berkongsi apa yang saya tahu, memperbetulkan sebutan dan bukan nak jatuhkan sesiapa,” katanya dalam sebuah kenyataan sebelum ini.