Malaysia Dateline

Jika Anwar mara ke Putrajaya… – Ini pesan Presiden AMANAH buat bakal PM

Sekiranya Pakatan Harapan (PH) berjaya mara ke Putrajaya dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini, Datuk Seri Anwar Ibrahim bakal menjadi Perdana Menteri.

Oleh itu, Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad Sabu ada pesanan buat Pengerusi PH berkenaan dan isterinya yang juga Pengerusi Majlis Penasihat PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

“Saya hendak nasihatkan bakal Perdana Menteri (Anwar) dan isteri.

“Bila jadi Perdana Menteri nanti bersama Kak Wan (Wan Azizah), carilah harta sepencarian.

“Jangan cari harta ‘sepencurian’,” katanya yang juga bekas Menteri Pertahanan ketika pentadbiran PH pasca Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 2018 itu.

Mohamad Sabu

Mohamad berkata demikian pada Konvensyen PH dengan disaksikan lebih 7,000 hadirin di Ipoh, malam tadi.

Pesanan Mohamad atau mesra dipanggil Mat Sabu itu sekaligus mengingatkan pada ‘pecah rekod’ yang dimiliki Datuk Seri Najib Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor.

Najib, 69, yang ke tirai besi selepas jatuh dari puncak kuasa memegang rekod sebagai bekas Perdana Menteri Malaysia pertama disumbat ke penjara mulai Ogos lalu.

Anak bekas Perdana Menteri, Tun Abdul Razak itu dikenakan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta selepas didapati bersalah pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd (SRC).

Sementara itu, Rosmah, 70, yang dianggap sebagai isteri Perdana Menteri paling kontroversi ketika suami sedang berkuasa, kini turun naik mahkamah ekoran tiga tuduhan rasuah berhubung projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion melibatkan kepentingan 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

Anwar malam tadi mengumumkan akan bertanding di kerusi Parlimen Tambun sekali gus dijangka bertembung dengan penyandang, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, jika Timbalan Presiden Bersatu itu mempertahankan kerusi itu pada PRU kali ini.

Pemilihan Parlimen Tambun itu, jelasnya, kerana mahu melonjakkan gerakan PH di utara Semenanjung khususnya Perak sebagai negeri barisan hadapan bagi gabungan tersebut.

Beliau juga mahu memastikan Perak dapat mengekori PH di Selangor dan Pulau Pinang yang berjaya mempertahan negeri itu dengan majoriti yang semakin mengukuh dalam beberapa PRU sebelum ini.

Baca juga ‘Duit beli susu, pampers anak pun harap simpati kawan’ – Ini realiti poket marhaen, netizen kongsi cara elak dompet ‘kering-kontang’

Baca juga Sebak baca komen saudara terdekat, rupanya kakak adik sangat rapat