Malaysia Dateline

Jika benar berlaku pencerobohan rumah ibadat tindakan yang tidak boleh diterima

Islam mengajar penganutnya saling menghormati dan memelihara kemuliaan tempat ibadat tanpa mengira agama.

Justeru, kalau benar telah berlaku pencerobohan rumah ibadat, tindakan pihak yang menceroboh atau merosakan rumah ibadat sehingga membahayakan individu di sekitarnya sama sekali tidak boleh diterima.

Demikian kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa dalam kenyataannya hari ini.

Beliau berkata, Allah SWT telah melarang rumah-rumah ibadat diceroboh sebagaimana firman Allah dalam surah al-Haj, ayat 40 yang bermaksud:

“Iaitu mereka yang diusir dari kampung halamannya dengan tidak berdasarkan sebarang alasan yang benar, (mereka diusir) semata-mata kerana mereka berkata: “Tuhan kami ialah Allah”. *Dan kalaulah Allah tidak mendorong setengah manusia menentang pencerobohan setengahnya yang lain, nescaya runtuhlah tempat-tempat pertapaan serta gereja-gereja (kaum Nasrani), dan tempat-tempat sembahyang (kaum Yahudi), dan juga masjid-masjid (orang Islam) yang sentiasa disebut nama Allah banyak-banyak padanya* dan sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa yang menolong agamaNya (agama Islam); sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa”._

“Berdasarkan ayat ini, jelas menunjukkan bahawa Islam meletakkan kedudukan rumah ibadat sebagai satu tempat yang perlu dijaga kehormatannya,” ujar beliau.

Dr Mujahid yang juga Naib Presiden AMANAH turut menyeru agar isu yang melibatkan kekecohan di Kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya, Selangor sekarang ini diselesaikan dengan cara yang paling aman dan terbaik.

“Semua tindakan provokasi oleh mana-mana pihak hendaklah dielakkan dan dihentikan serta-merta.

“Dalam pada itu, saya juga berharap agar pihak berkuasa berkenaan melakukan siasatan dengan penuh adil dan terperinci berhubung kekecohan tersebut agar pihak yang bersalah diambil tindakan sewajarnya mengikut lunas perundangan.

“Mana-mana pihak yang enggan menghormati undang-undang negara wajar dikenakan tindakan tegas tidak kira siapa mereka.

“Semua pihak juga dinasihatkan agar tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh mengeruhkan lagi keadaan bagi memastikan keharmonian dan keamanan negara kita yang dikecapi selama ini terus dijaga,” ujarnya.

Sebagai rekod Pada 31 Oktober lalu, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pemberdayaan dan Pembangunan Sosio Ekonomi dan Kerajaan Prihatin Selangor, V. Ganabatirau berkata dalam Penghakiman Persetujuan bertarikh 11 Mac 2014, empat pihak terlibat bersetuju memindahkan kuil itu dan menyerahkan kembali tapak kuil dalam keadaan kosong kepada pemilik tanah.

Empat pihak terlibat dalam penghakiman berkenaan ialah kerajaan negeri; pemilik tapak kuil berkenaan, One City Development Sdn Bhd (One City) serta dua individu yang mendakwa pentadbir kuil berkenaan, K. Chellappa dan M. Nagaraju.

Chellappa memfailkan bantahan terhadap usaha One City mengambil tapak kuil berkenaan pada 1996.

Dalam penghakiman persetujuan itu, One City bersetuju mendepositkan wang RM1.5 juta kepada pihak kuil manakala kerajaan negeri menyerahkan tanah kira-kira 0.4 hektar (satu ekar) terletak kira-kira tiga kilometer dari lokasi asal kuil untuk tujuan pemindahan kuil berkenaan.

Bagaimanapun pada 28 September, satu notis pengosongan dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam yang mengarahkan penghuni kuil mengosongkan tapak pada atau sebelum 15 Oktober lepas.

Bagaimanapun, pada 25 November kira-kira 300 individu yang tidak bersetuju kuil itu dipindahkan bertindak berkumpul di kuil berkenaan semasa urusan pemindahan dijalankan.

Individu terbabit mahu kuil berkenaan yang didakwa dibina pada 1891 diselamatkan berdasarkan merit agama dan sejarah.

Tindakan pantas polis membendung kekecohan di kuil Sri Maha Mariamman USJ 25, Putra Heights, yang menyaksikan 17 lelaki ditahan dalam tempoh kurang 24 jam, meredakan suasana tegang dalam kalangan masyarakat.

Bagaimanapun insiden rusuhan itu tidak berhenti setakat penahanan itu, malam tadi berlaku lagi pertempuhan antara pasukan bomba, FRU dan orang ramai yang membantah dan mahu kerajaan campurtangan dalam isu membabaitkan tempat ibadat kaum India itu.

Sehingga hari ini polis mengesahkan seramai 21 orang telah ditahan susulan kejadian rusuhan yang berlaku selama dua hari ini.