Malaysia Dateline

Jika benar komen negatif, pengetua sekolah Ain wajar dikenakan tindakan

11 Ahli Parlimen dan 27 Ahli Dewan Negeri Selangor mendesak Kementerian Pendidikan mengambil tindakan tatatertib yang tegas terhadap pengetua yang didakwa menulis komen negatif terhadap pelajar Ain Husniza Saiful Nizam, 17.

“Adalah sangat malang bahawa pengetua sekolah Ain Husniza mungkin membuat satu kenyataan negatif di Facebook dimana Ain telah dirujuk sebagai seorang “hipokrit … anak setan pakai tudung”,” katanya dalam kenyataan bersama,

Katanya, sengaja atau tidak, komennya itu memberikan keizinan kepada pendidik dan pelajar lain bahawa keganasan terhadap wanita boleh dijadikan sebagai bahan gurauan, selain perbuatan merendahkan sesiapa sahaja yang berani mempersoalkan status quo boleh diterima.

Menurutnya, penangan kes Ain meninggalkan satu titik hitam dalam demokrasi kerana mereka yang bersuara dianggap sebagai pembangkang, penghasut dan lebih teruk lagi sekarang dilabelkan sebagai syaitan.

“Kami mendesak Kementerian Pendidikan untuk mengkaji semula sistem pendidikan dan mengambil tindakan tatatertib yang tegas terhadap pengetua, sekiranya dia didapati telah menulis komen negatif tersebut dan terhadap guru yang telah mengambil tindakan terhadap pemberi maklumat,” katanya dalam satu kenyataan bersama.

Apa yang dikesalkan, katanya, Kementerian Pendidikan dalam maklum balasnya, tidak merujuk kepada kes Ain tetapi hanya tertumpu kepada isu pemeriksaan haid terhadap pelajar perempuan.

“Terdapat keperluan mendesak untuk meningkatkan kesedaran mengenai kepekaan gender dalam kalangan guru dan pelajar kerana hormat, kesaksamaan dan keadilan adalah nilai yang ingin dimiliki oleh rakyat Malaysia dalam hasrat mencapai sebuah negara yang lebih baik.

“Satu Akta Kesaksamaan Gender seperti yang dicadangkan oleh Pakatan Harapan mesti dilaksanakan untuk memastikan anak-anak perempuan dan lelaki kita dilindungi.

“Kementerian harus mengembalikan nama baik institusi pendidikan agar dapat mempertahankan reputasi berpanjangan untuk melahirkan rakyat kelas pertama,” katanya.

Ain telah dinafikan hak untuk menerima pendidikan di sekolahnya dan kini mungkin terpaksa berpindah ke sekolah lain.

Namun sekolah tersebut telah mengabaikan hak pendidikan Ain dan juga tidak berusaha untuk memastikan
persekitaran sekolah tersebut selamat untuk Ain kembali ke sekolah.