Malaysia Dateline

Jika benar sumpah mubahalah atasi bukti, kenapa Presiden Pas tak bersumpah saja dalam kes saman Sarawak Report?

Kenyataan AJK Pas Pusat, Mohd Zuhdi Marsuki bahawa beliau masih belum yakin Datuk Seri Najib Razak bersalah kerana sumpah mubahalah yang dibuat Najib sehari sebelum Mahkamah Persekutuan memutuskan secara muktamad Najib bersalah atas tujuh pertuduhan pecah amanah dan pengubahan wang haram dana KWAP dalam SRC sebanyak RM42 juta amat mengelirukan.

Ini adalah kerana sumpah mubahalah ini tidak diiktiraf dalam perundangan Islam. Adakah sumpah mengatasi bukti?

Atas nas atau dalil apakah beliau beranggapan begitu? Sedangkan Allah menyebut secara jelas tentang pemakaian bukti dalam perundangan sepertimana dalam surah al-An’aam:152 yang bermaksud:

“Dan apabila kamu memberikan apa-apa keterangan maka hendaklah kamu berlaku adil sekalipun orang itu mempunyai hubungan kerabat”.

Malahan, tiada apa-apa nas atau dalil yang mengiktiraf sumpah mubahalah dalam kes jenayah.

Dalam kes Najib ini, bukti yang dikemukakan pihak pendakwa raya amat jelas melepasi keraguan munasabah sehinggakan Mahkamah Persekutuan membuat dapatan bahawa kes tersebut adalah ‘simple and straightforward’.

Dalam penghakiman semalam, Mahkamah Persekutuan mendapati bahawa wang sebanyak RM42 juta itu tidak dinafikan masuk ke akaun peribadi Najib dan bukti dokumentar jelas menunjukkan wang tersebut habis dibelanjakan.

Mahkamah Persekutuan juga mendapati dapatan Hakim Nazlan bahawa pembelaan derma putera Arab tidak dibuktikan.

Maka, Pas dicabar untuk justifikasikan di mana silapnya keputusan mahkamah di dalam kes ini supaya sistem undang-undang dan kehakiman negara tidak tercemar dengan dakyah songsang Pas ini.

Jika sumpah mubahalah boleh diterima dalam sistem perundangan, kenapa tidak Presiden Pas bersumpah mubahalah sahaja di dalam kes saman fitnah dana RM90 juta terhadap Editor Sarawak Report Clare Brown?

Untuk apa Pas perlu membayar RM1.4 juta sebagai kos menarik balik kes jika sumpah mubahalah sah bagi membebaskan Pas daripada tuduhan tersebut?

Pendirian flip-flop Pas ini menunjukkan sikap hipokrasi Pas dalam menghalalkan perjuangan mereka atas sentimen agama.

Baca juga Bukan sekali Najib sumpah laknat, mufti pun dah tegaskan itu tiada dalam perundangan Islam