Malaysia Dateline

Jika berjaya bentuk kerajaan, PH akan siasat Mahiaddin belanja RM500 bilion wang negara

Pakatan Harapan (PH) menyatakan ikrar akan menyiasat bekas Perdana Menteri, Tan Sri Mahiaddin Md Yasin sekiranya PH berjaya membentuk kerajaan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Perkara itu dijanjikan Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari yang memaklumkan siasatan akan dilakukan ekoran dakwaan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu membelanjakan RM500 bilion ketika pandemik Covid-19, dua tahun lalu.

Lapor Berita Harian, walaupun peruntukan besar itu dikatakan untuk menyelamatkan rakyat dan negara daripada pandemik Covid-19, namun Adly berpendapat ia perlu disiasat.

“Kita janji akan menjalankan siasatan terhadap perkara itu kerana walaupun Muhyiddin menyatakan wang berkenaan adalah untuk menghadapi Covid-19, kita akan lihat daripada semua aspek.

“Jika ada penyelewengan, kita akan ambil tindakan pendakwaan kerana ia adalah wang negara,” katanya memetik Berita Harian selepas berceramah di Kampung Ujong Padang, malam tadi.

Mahiaddin pada tahun lalu menyebut bahawa kerajaan telah membelanjakan sekitar RM340 bilion untuk pakej-pakej rangsangan dan RM322 bilion untuk belanjawan, yang jika dijumlahkan melebihi RM600 Bilion.

Bagaimanapun beliau tidak menyebut secara spesifik tahun dan untuk kegunaan apa wang sebanyak itu dibelanjakan.

Pembangkang serta pimpinan Umno ketika itu menyerang pimpinan tertinggi PN itu dan meminta butiran lanjut mengenai perbelanjaan berkenaan sama ada digunakan dengan cara yang betul atau wujud penyelewengan.

Baca juga: Melihat adik ini ‘mandi’ telur ayam, netizen seloroh suruh ibu bapanya bersabar

Baca juga: Takiyuddin hadapi masalah besar di Kota Bharu, kena serang pemimpin sendiri