‘Jika bukan kita selamatkan parti, esok tiada siapa mahu peduli’

Oleh ARIF ATAN

Tanggal Jun 2015 adalah tarikh bersejarah buat AMANAH. Ia adalah titik tolak terbentuknya parti yang berdiri hari ini. Tidak perlu menafikan dan melencongkan sejarah, AMANAH dibentuk setelah 18 tokoh besar Pas ditewaskan dek kerana cai. Hanya Datuk Mazlan Aliman yang terselamat, tetapi kemudiannya cekal menentang arus bersama rakan-rakan membina parti Islam baharu.

Pada ketika itu tidak terlintas di benak bahawa hanya dengan sekeping kertas cai 18 tokoh besar tertolak sekaligus. Ia adalah sejarah hitam yang mengerikan, melihat perwakilan meletakkan sekeping kertas sebagai penentu kepimpinan sebuah parti Islam. Hilang sudah rasional dan pertimbangan, jasa dan bakti berdekad seolah-olah tiada makna.

Ia adalah antara sebab besar kita mengambil keputusan keluar dari parti yang puluhan tahun bersama. Kita juga menolak budaya fitnah, adu domba dan lobi yang keterlaluan. Mana mungkin sebuah parti yang bernama dan bernuansa Islam, begitu sikap dan perilakunya.

Tatkala parti AMANAH mula ditubuhkan, kita punya cita-cita besar untuk bersikap menerima semua orang, inklusif adalah kata kuncinya. Untuk mengelakkan budaya cai juga, kita memperkenalkan kaedah pemilihan tanpa jawatan.

Kerana kita tidak mahu jika jawatan Presiden dipertandingkan, kita akan kehilangan seorang tokoh yang kalah. Tapi hakikatnya hari ini kita bukan sahaja akan kehilangan seorang tokoh, tetapi sekumpulan tokoh yang kalah.

Allah menakdirkan kita menang. Dan saat kemenangan itu datang bersama dugaan dan badai. Bahtera yang dahulunya tenang aman, kini sesak dan bergelora. Masing-masing mahu mencari ruang yang selesa, dekat dengan nahkhoda.

Yang kita benci di parti lama sudah berulang dalam parti baharu. Perpuakan, fitnah, adu domba malahan politik wang mula menjalar. Malahan, pergaduhan mulut dan fizikal sudah berlaku di peringkat Cawangan dan Kawasan.

Alangkah ruginya kita yang dahulu menolak budaya cai dan perpuakan tetapi kita terperangkap di pusaran yang sama. Kita tidak perlu menafikan realiti, inilah yang berlaku di hadapan mata. Malahan lebih terbuka dan tidak malu lagi berselindung.

Apakah ini yang kita mahu wajahkan parti kita? Apakah ini masa hadapan yang kita mahu corakkan? Apakah ini akhir dan tujuan perjuangan kita? Apakah sejarah ini yang kita mahu kisahkan nanti kepada anak-anak dan penerus perjuangan parti?

Saya merayu perwakilan ke Konvensyen Nasional AMANAH letakkanlah iman sebagai neraca utama pertimbangan kita. Kita adalah parti Islam hari ini dan masa hadapan. Tanamlah benih yang baik, esok buah yang baik juga kita harapkan.

Tolak budaya cai, pilihlah atas kemampuan dan jasa kepada parti. Jika bukan kita menyelamatkan parti hari ini, esok tiada siapa lagi mahu peduli.

* Penulis ialah ahli AMANAH dengan nombor keahlian 0000240.