Malaysia Dateline

Jika EU terus sekat sawit, PM pertimbang beli jet China

Perdana Menteri berkata, Malaysia mungkin membeli pesawat pejuang dari China sekiranya Kesatuan Eropah (EU) meneruskan sikap tidak adil dan diskriminasi terhadap minyak sawit Malaysia.

Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, Malaysia bukan mahu melancarkan ‘perang’ terhadap barangan dari Eropah kerana masih ada produk dari kesatuan itu yang perlu dibawa masuk.

Bagaimanapun, terdapat beberapa barang tertentu akan dibeli dari negara lain kerana Malaysia mempunyai banyak pilihan.

“Kalau kita terpaksa beli pesawat pejuang, kita terpaksalah ambil kira juga pesawat pejuang buatan China. Saya fikir teknologi mereka (China) tidak kurang.

“Bahkan teknologi China melebihi teknologi Barat sehingga Barat menjadi takut dan tidak benarkan teknologi China masuk ke negara mereka,” ujarnya.

Mahathir berkata demikian dalam ucapan perasmian Kempen Sayangi Sawitku dan pada sidang medianya selepas itu di Ladang East Sime Darby Plantations di Pulau Carey, di Banting hari ini.

Turut hadir Menteri Industri Utama, Teresa Kok; Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar dan Timbalan Menteri Industri Utama, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin.

Jelasnya, beliau baru pulang dari Pakistan dan ketika di sana menyaksikan pesawat pejuang buatan China yang menyertai pertunjukan aerobatik dan sangat mengagumkan.

“Untuk melindungi kekayaan ekonomi mereka (EU), mereka menyekat kemasukan minyak sawit. Mereka sekat kemasukan barangan buatan China, tetapi jika mereka berbuat demikian dan kita akan rugi kerana minyak sawit kita tidak dapat terjual, maka kita akan beli pesawat dari China,” katanya.

Menurutnya, beliau juga bukan mengambil sikap mempromosi barangan dari China, sebaliknya ia bertujuan menolak barangan dari negara Eropah.

“Ini bukan promosi barangan China. Ini menolak barangan dari Eropah yang memiskinkan kita. Ini (mengurangkan import barang dari Eropah) bukan boleh dibuat secara tergesa-gesa. Kita kena kaji kesan. Jika kita dapati kesannya baik kita ambil tindakan,” katanya lagi.