Malaysia Dateline

Jika kami gagal pulihkan Tabung Haji, bagaimana boleh beli RM1.8 bilion aset di England

Kejayaan Pakatan Harapan memulihkan Tabung Haji terbukti apabila badan itu berjaya membeli hartanah bernilai RM1.8 bilion di England 12 Julai lalu.

Bekas Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Agama) Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkata, itulah bukti paling nyata kejayaan pemulihan yang dibuat oleh kerajaan PH dahulu.

“Ketika kami mengambil alih, Tabung Haji berada dalam keadaan defisit di mana asetnya lebih rendah dari hutang yang ditanggung.

“Sudah defesit 4.8 bilion ringgit Tabung Haji ketika itu,” kata Mujahid dalam Ceramah Kelantan Baru di Kota Bharu kelmarin.

Lembaga Tabung Haji (TH) mengukuhkan lagi pelaburan dalam pasaran hartanah luar negara dengan memuktamadkan rundingan pembelian bangunan yang menempatkan Kementerian Pengangkutan United Kingdom (UK) di kota raya London pada 12 Julai lalu.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Seri Amrin Awaluddin berkata pembelian bangunan berstatus pegangan bebas itu adalah tambahan kepada senarai pelaburan TH yang mempunyai portfolio berkaitan di UK sejak 2012.

“Pemilikan hartanah ini memberi pulangan jangka panjang yang baik kepada TH memandangkan kontrak sewaan yang panjang manakala kos penyelenggaraan ditanggung sepenuhnya oleh penyewa selain kenaikan kadar sewaan setiap tahun dan memiliki nilai pasaran yang stabil.

“Ini juga selaras dengan objektif pelaburan TH untuk mempelbagaikan jenis pelaburan dari segi aset dan lokasi,” katanya dalam satu kenyataan 21 Julai lalu.

Menurut Mujahid, pelbagai tuduhan dan fitnah dihalakan kepada beliau ketika menjadi menteri agama dahulu.

“Mereka panggil saya bukan Mujahid tetapi Mujahat. Kerana apa, kerana saya didakwa jual aset Tabung Haji,” kata beliau.

Padahal apa yang dibuat oleh beliau adalah menyusun semula Tabung Haji untuk memulihkannya selepas tenat akibat salah pengurusannya.

“Sekarang terbukti kejayaannya. Tabung Haji boleh beli aset RM1.8 bilion di England,” kata beliau.