‘Jika kerajaan tidak serius tangani harga barang naik, himpunan aman besar-besaran akan diadakan’

Oleh ARIF ATAN

Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Seri Salahuddin Ayub mengingatkan bahawa perhimpunan aman secara besar-besaran akan diadakan jika kerajaan tidak serius menangani masalah kenaikan harga barang dan isu bekalan minyak masak.

Naib Presiden Pakatan Harapan (PH) itu menegaskan bahawa masalah bekalan minyak masak paket yang sangat tidak mencukupi memberi kesan besar kepada ekonomi rakyat khususnya golongan berpendapatan 40 peratus terendah (B40).

Bekas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) itu berkata demikian selepas meninjau beberapa pasar raya dan kedai runcit di Parlimen Kota Raja, Klang hari ini bersama Pengarah Biro Mobilisasi AMANAH Nasional, Mohd Sany Hamzan.

“Ada yang pelik, satu kedai itu meletakkan syarat iaitu kena beli barangan dalam nilai RM20 barulah dapat beli satu paket minyak masak.

“Saya harap pihak kementerian mengambil tindakan sewajarnya dan saya bersama Biro Mobilisasi AMANAH akan terus memantau isu rakyat ini,” katanya dalam sidang media.

Serentak dengan pemansuhan subsidi minyak masak tulen botol dua hingga lima kilogram bermula 1 Julai lalu, bekalan minyak masak paket satu kilogram yang subsidinya masih diteruskan kerajaan semakin sukar diperoleh di pasaran.

Bahkan, mengundang kemarahan orang ramai apabila minyak masak bersubsidi negara boleh dibeli secara terbuka di selatan Thailand antaranya di Narathiwat, Sungai Golok, Weng dan Sungai Padi, tanpa dihadkan pembeliannya.

Mengulas lanjut, Salahuddin berharap kerajaan dalam tempoh terdekat ini benar-benar tampil menangani isu kenaikan harga barangan dan menangani masalah bekalan minyak masak.

“Kita tetap akan mengadakan perhimpunan aman kerana ‘bahasa’ perhimpunan aman sahaja yang mampu membuatkan kerajaan hari ini sedar.

“Kita harap rakyat bersama dalam isu memperjuangkan harga barang yang sedang melanda negara kita.

“Jika kerajaan tidak serius maka himpunan aman besar-besaran di jalan raya akan diadakan. Ingat, Bersih pernah mengadakan lima kali siri perhimpunan untuk kita mendapatkan pilihan raya yang adil dan bersih,” tegas Salahuddin lagi.