Bakal parti Mahathir bukan serpihan dan boleh celakakan Umno, kata Bung Moktar

Bakal parti Mahathir bukan serpihan dan boleh celakakan Umno, kata Bung Moktar

Parti baharu yang bakal ditubuhkan Tun Mahathir Mohamad tidak boleh dianggap enteng (remeh) atau seolah ia hanya parti serpihan dan tidak mendatangkan apa-apa ancaman kepada Umno. Inilah masanya untuk Umno fokus ke arah memperkuatkan parti supaya beri keyakinan kepada ahli dan rakyatnya.

Malah parti Tun Dr Mahathir Mohamad itu mampu ‘mencelakakan’ Umno jika penubuhan parti itu dianggap remeh oleh ahli dan kepimpinan Umno.

Kebimbangan itu disuarakan Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Bung Moktar Radin yang senada dengan kenyataan Ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin bahawa parti baharu Dr Mahathir mampu bertahan lama dan bergerak jauh.

“Kalau ahli Umno leka, maka kesilapan besar akan berlaku dan Umno bakal ‘dicelakakan’ oleh parti pembangkang,” katanya seperti dilaporkan FMT.

Ahli Parlimen Kinabatangan itu juga mengakui, status parti tertua tidak akan memberi jaminan kepada Umno, parti Melayu itu untuk kekal memerintah.

“Walaupun Umno sebuah parti yang berjaya tetapi sejarah tidak akan membantu Umno untuk terus kekal sebagai pemerintah, kecuali Umno sendiri melibat gandakan usaha ke arah itu,” katanya.

Terdahulu kebimbangan sama disuarakan Khairy apabila mengingatkan pemuda Umno supaya tidak mengambil mudah penubuhan parti baharu Dr Mahathir dengan beranggapan parti kecil itu tidak akan bertahan lama.

Katanya, adalah terlalu angkuh untuk menganggap sedemikian kerana parti baharu itu ditunjangi nama-nama besar seperti Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir selain Dr Mahathir sendiri.

Perkembangan terkini dalam Umno khususnya di Sabah memang jelas kritikal  selepas Datuk Seri Shafei Afdal meninggalkan parti itu.

Di bahagian Semporna kini tidak mempunyai ketua bahagian, naib ketua bahagian, pengerusi tetap, ketua wanita dan ketua pemuda kerana keluar kesemuanya didkwa keluar daripada daripada Umno bersama beberapa barisan ahli jawatankuasanya.

“Tidak tahu siapa yang hendak dipilih menjadi ketua kerana pemimpin yang ada hanyalah timbalan ketua bahagian Semporna iaitu Datuk Seri Nasir Tun Sakaran sedangkan ada juga dalam kalangan ahli yang mahukan Ramlee memimpin Umno Bahagian Semporna.

“Begitu juga dengan ketua wanita dan pemudanya yang masih belum ada pengganti apalagi barisan ahli jawatankuasa yang difahamkan tinggal dua orang yang masih setia bersama Umno. Akibatnya, mesyuarat tidak boleh diadakan kerana ramai yang berminat untuk mendapatkan jawatan yang telah dikosongkan itu,” katanya seperti dipetik.

Sebelum ini, jawatan ketua bahagian Umno Semporna disandang oleh bekas naib presiden Umno, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, naib ketua Adun Sulabayan, Jaujan Sambakong, pengerusi tetap ialah Datu Eranza Datu Saribu, Ketua Wanita, Manismuka Dara dan Ketua Pemuda, Mohd Aziz Jamman.

Kesemua pemimpin itu telah mengambil keputusan keluar parti bersama Mohd Shafie yang digantung tugas sebagai naib presiden Umno kerana mengkritik presiden parti, Datuk Seri Najib Razak secara terbuka atas pentas parti pembangkang.

TAGS