Malaysia Dateline

Jika Mahiaddin enggan, Majlis Raja-Raja boleh pastikan Parlimen bersidang segera

Pengarah Komunikasi AMANAH Selangor yang juga seorang peguam, Wan Anwar Wan Ibrahim berpendapat bahawa Majlis Raja-raja Melayu boleh mengambil pendekatan proaktif untuk memastikan sidang Parlimen segera dijalankan tanpa menunggu sehingga September.

Beliau berkata demikian, mengulas tentang kenyataan Tan Sri Mahiaddin Md Yasin berhubung keabsahannya sebagai Perdana Menteri dan hanya akan adakan sidang Parlimen pada September ini bagi menguji keabsahan beliau.

“Saya menganggap bahawa kenyataan yang dibuat oleh beliau jelas memperlihatkan bahawa kerajaan Perikatan Nasional (PN) akan terus bersikap derhaka dan membelakangi Yang di-Pertuan Agong.

“Saya berpandangan bahawa penggunaan perakuan sumpah untuk membuktikan sokongan sebagai Perdana Menteri tidak lagi boleh dijadikan sandaran muktamad tetapi harus dizahirkan melalui Parlimen yang mana selaras dengan tuntutan demokrasi

“Justeru, Majlis Raja-Raja sebagai badan yang mengatasi politik boleh diharapkan untuk memainkan peranan melindungi Perlembagaan Persekutuan daripada terus dicabul,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.