Malaysia Dateline

Jika Mahiaddin masih tiada rasa malu, Ismail Sabri patut jadi pertama umum letak jawatan

Dengan keputusan Majlis Tertinggi Umno lewat malam tadi yang mengumumkan menarik sokongan serta-merta kepada Mahiaddin Md Yasin, walaupun mungkin Takiyuddin Hassan masih cuba berhujah perkataan serta-merta itu tidak bermaksud segera atau secepat mungkin.

Tetapi Perdana Menteri kini telah ditinggalkan dengan pilihan yang cukup terhad.

Jika beliau masih ada maruah, harga diri dan perasaan malu, langkah pertama dan terbaiknya pagi ini ialah pergi ke Istana Negara untuk menghadap Agong bagi mengumumkan perletakan jawatannya.

Penarikan sokongan yang dibuat oleh Umno yang mewakili 38 Ahli Parlimen dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) bermakna Mahiaddin tiada keupayaan lagi untuk terus mempertahankan kerajaan PN dan kedudukannya sebagai Perdana Menteri.

Cuba bertahan lagi hanya akan membuatkan beliau terus dikeji, dibenci dan dikecam daripada segenap penjuru.

Walaupun ketetapan MT itu tidak disertai dengan kemestian untuk Ahli Parlimen Umno dalam kerajaan meletak jawatan, Mahiaddin dalam hal ini harus ada tanggungjawab moral yang tinggi untuk menyelamatkan masa masa depan negara.

Tiada lagi majoriti yang ketara bermakna beliau tidak berhak lagi memimpin negara.

Kegagalan beliau, antaranya sebagaimana yang ditekankan dalam keputusan MT malam tadi iaitu gagal menangani pandemik Covid-19.

Selain itu tindakan Mahiaddin yang menyalahgunakan proklamasi darurat, gagal mempertahankan sistem demokrasi berparlimen, gagal mengurus kestabilan politik dan ekonomi, serta memperkotak-katikkan titah Yang di-Petuan Agong, adalah jelas perkara-perkara yang serius dan memalukan.

Ia tidak dapat diterima dan tergamak dilakukan oleh sebuah kerajaan yang mendakwa berjuang untuk rakyat dan mendakwa menjadi kerajaan yang berpaksikan kesetiaan kepada Raja dan Negara sebagaimana termaktub dalam Rukun Negara.

Maka itu, berundur dan meletak jawatan mesti menjadi pilihan utama bagi Mahiaddin.

Begitu pun, mengenali tingkah laku politik Mahiaddin yang ternampak sangat degil dan ingin terus berpaut kepada kuasa sebagaimana ditunjukkannya sepanjang 17 bulan sebelum ini, tidak mustahil beliau “buat tak reti” saja dengan ketetapan terbaru Umno ini.

Paling-paling untuk melengahkan lagi masa, beliau mungkin masuk hospital sekali lagi.

Dalam hal ini, jika kedegilan Mahiaddin tetap berterusan dan tiada perubahan kepada kedudukan kerajaan, Timbalan Perdana Menteri yang baru dilantik semalam iaitu Ismail Sabri seharusnya menjadi pemimpin Umno yang pertama meletakkan jawatan.

Tidak kisahlah jika dengan berbuat demikian, Ismail Sabri akan mencatat sejarah sebagai Timbalan Perdana Menteri paling singkat iaitu tidak sampai 12 jam.

Namun maruah parti yang memberi nikmat kepadanya selama ini tentulah jauh lebih tinggi lagi nilainya.

Realiti yang tidak boleh dinafikan juga, keputusan MT UMNO menarik sokongan serta-merta itu adalah keputusan yang dipersetujui oleh Ismail Sabri sendiri kolektif atas kedudukannya sebagai Naib Presiden Umno.

Sebagaimana Mahiaddin tidak banyak pilihan, Ismail Sabri juga tidak ada banyak pilihan.

Jika Ismail Sabri dapat menunjukkan teladan menjadi yang pertama meletakkan jawatan daripada kerajaan, barulah ada momentum untuk Ahli-Ahli Parlimen Umno lain untuk turut berbuat demikian.

Setelah Umno mengumumkan menarik sokongan secara serta-merta, tiada makna lagi bagi mereka untuk terus pergi ke pejabat dan berada dalam kerajaan gagal ini.

Kecuali, jika berlengah-lengah berbuat demikian, ia hanya memperlihatkan keinginan untuk ingkar kepada keputusan parti dan mahu menyeberang menyertai parti lain.