Malaysia Dateline

Jika mahu Islam memimpin, bukan hanya berceramah dan tampal pelekat ayat al-Quran

Penulisan ini diilhamkan oleh satu episod sebuah rancangan TV. Rancangan TV ini cuba berkongsi kisah mereka yang ditimpa musibah.

Ia dihos oleh seorang seniwati dan turut bersama dalam rancangan ini seorang individu yang berpakaian jubah dan serban. Dalam konteks masyarakat Malaysia, keterampilan individu ini menonjolkan citranya sebagai seorang ustaz.

Dalam episod yang ditonton penulis, hos rancangan TV ini telah memaparkan kisah seorang wanita yang ditimpa musibah. Ibu wanita ini telah lumpuh akibat strok. Suaminya pula telah terbabit dalam kemalangan dan telah juga lumpuh seluruh badan.

Oleh sebab terpaksa menjaga ibu dan suaminya, wanita ini tidak dapat bekerja dan tiada pendapatan. Selepas memaparkan kisah wanita ini, hos rancangan ini telah menjemput ustaz yang bersamanya untuk memberi sedikit kata-kata.

Ustaz ini pun mula memberi ceramah mengenai sabar. Beliau memberikan huraian mengenai sabar, jenis-jenis sabar dan kepentingan sabar. Intipati ceramah ini ialah wanita yang ditimpa musibah ini perlu banyak bersabar.

Saya berfikir ketika itu dan tertanya-tanya bagaimanakah Umar Al Khatab r.a. akan menanggani masalah yang sama. Kita semua tahu kisah Umar bertemu seorang wanita dan anaknya yang sedang menangis ketika meronda di Madinah pada satu malam.

Wanita itu kehabisan makanan dan mereka kelaparan. Umar, yang merupakan khalifah ketika itu, terus pergi ke Baitul Mal untuk mengambil gandum.

Umar telah kembali serta memasak untuk kedua-dua mereka. Hanya selepas kedua-dua mereka puas makan dan si anak telah tidur baru Umar beredar dari situ.

Kecekapan dan ketelitian dalam berikhtiar adalah sebahagian daripada quwwah yang perlu ada pada seorang pemimpin.

Umar tidak memberi ceramah mengenai sabar kepada wanita itu. Dia juga tidak menyuruh wanita itu mengamalkan zikir atau amalan tertentu agak rezekinya akan bertambah baik. Umar berdepan dengan masalah yang terdesak dan dia berikhtiar menyelesaikan masalah itu.

Demikian juga, pada tahun 18 Hijrah Madinah ditimpa kemarau dan kebuluran. Umar telah berikhtiar dengan mengarah gabenor-gabenor di Mesir dan Iraq menghantar bekalan makanan.

Beliau juga telah menggantung kutipan zakat dan pelaksanaan hudud. Dan sebagai ikhtiar untuk mengelak masalah sama berulang pada masa hadapan, Umar telah mengarah gabenor di Mesir membina terusan.

Terusan itu menghubungkan Sungai Nil dengan Laut Merah untuk membolehkan bekalan makanan dari Mesir dihantar dengan cepat ke Madinah. Langkah-langkah yang diambil Umar ini jelas menunjukkan tindakan-tindakan yang sistematik dan berpandangan jauh.

Demikian juga dengan gaya kepimpinan Rasulullah s.a.w. Hijrah dari Mekah ke Madinah melibatkan ikhtiar yang teliti dan terperinci.

Selepas bertapak di Madinah, baginda turut berikhtiar menghantar pasukan-pasukan rondaan untuk meneliti keadaan di sekeliling Madinah, membina hubungan dengan suku-suku di sana dan meninjau pergerakan Quraisy.

Baginda memandang jauh ke hadapan dan bersiap-sedia untuk menghadapi ancaman-ancaman yang mungkin muncul pada masa hadapan. Rasulullah s.a.w. tidak hanya tinggal di mana Madinah dan menyuruh para sahabat mengamalkan ayat-ayat Al Quran tertentu untuk “memagar”Madinah.

Demikian juga, selepas perang Badr Rasulullah s.a.w. telah memberi askar Quraisy yang ditawan pilihan untuk mengajar kanak-kanak Islam membaca sebagai syarat pembebasan mereka.

Rasulullah s.a.w. tidak menyuruh para sahabat memberi air Yaasin atau menjampi kurma atau kismis untuk menjadikan kanak-kanak ini pandai. Sebaliknya, kanak-kanak ini diajar oleh golongan yang sebenarnya merupakan banduan ketika itu.

Maududi menghuraikan bahawa al-Quran itu diturunkan sebagai “hudan liltmuttaqin”. Ini bererti Al Quran hanya akan memberi manfaat jika kita mendampinginya dan mempelajarinya dengan tujuan mendapat petunjuk.

Ada orang mendampingi Al Quran untuk mempelajari keindahan bahasa dalamnya, ada yang menggantung ayat Al Quran di dinding agar perniagaan akan laris dan ada yang menggunakan al-Quran untuk menghalau hantu dan “memagar” rumah.

Tidak kurang pula mereka yang menggunakan al-Quran untuk mengertak serta memeras mengikut nafsu politik mereka. Mereka ini mungkin memperoleh atau tidak memperoleh apa yang mereka hajatkan. Yang nyata ini bukanlah cara mencari hidayah.

Contoh yang kita lihat pada Rasulullah s.a.w. dan pada sahabat seperti Umar r.a. menunjukkan tugas memimpin ummah dan membawa rahmat kepada manusia memerlukan ikhtiar yang teliti dan tersusun untuk menyelesaikan masalah-masalah yang dihadapi. Al-Quran menyebut seorang pemimpin perlu ada sifat quwwah.

Kecekapan dan ketelitian dalam berikhtiar adalah sebahagian daripada quwwah yang perlu ada pada seorang pemimpin. Dan keupayaan menyelesaikan masalah adalah tonggak penting dalam berikhtiar.

Itulah cara Rasulullah dan para sahabat fahami dan hayati Al Quran. Jika kita ingin Islam memimpin kita perlu membina quwwah ini. Tidak memadai sekadar berceramah, menjampi dan menampal pelekat ayat Al Quran di kereta.

Baca juga Kapal bocor di lautan bergelora: Ada bertungkus lumus, ada yang tidak endah apa yang berlaku

Baca juga ‘Sebab bukan rumah tangga anak dia yang runtuh’ – netizen berang Kazar pertahan kesalahan anak