Seorang wanita langsung tidak menyangka, pengalaman belajar mengaji di rumah jirannya akan menjadi episod yang paling hitam dalam kehidupannya.
Masih tidak dapat melupakan kejadian mencemaskan itu meskipun sudah beberapa tahun berlalu, wanita terbabit nekad menceritakannya semula kepada ibu bapa di luar sana.
Berikut perkongsian Mawar yang mahu pengalamannya dijadikan pengajaran dalam mendidik anak perempuan terutamanya kepentingan menjaga anggota peribadi mereka.
“Salam semua. Sebelum pengalaman ini diceritakan, aku harap semua dilindungiNYA dari segala kejahatan. Aku gelarkan diri sebagai Mawar. Cerita ini benar terjadi tanpa tokok tambah sedikit pun. Adalah sangat penting bagi ibu bapa mengajar anak-anak dari kecil mengenai bahagian sensitif di tubuh mereka. Kenapa aku cakap penting?
“Mari kita berbalik kepada cerita aku. Kejadian berlaku ketika aku masih Darjah Lima. Waktu itu, aku belajar mengaji dengan orang satu kampung. Mengaji berdua dengan adik aku yang ketika itu Darjah Dua. Kalau diikutkan, kelas kami waktu siang. Tetapi disebabkan jadual persekolahan yang padat, kami kena mengaji di waktu malam.
“Aku gelarkan cikgu mengaji, ‘Pak M’. Murid Pak M ini tidaklah ramai. Ada dalam tujuh orang termasuk aku dan adik. Mulanya, siapa yang datang kelas awal akan mengaji dahulu. Tetapi lama-kelamaan, Pak M akan suruh murid lain mengaji dahulu. Jadinya, apabila semua murid sudah pulang ke rumah, tinggallah kami dua beradik sahaja.
“Pak M akan mengajar adik aku terlebih dahulu supaya dia tertidur selepas mengaji. Adik memang akan terus tidur sementara menunggu aku ini habis mengaji. Apabila aku sudah siap, barulah Pak M sendiri yang akan kejut adik. Ketika adik tidur, Pak M akan mengajar aku di atas riba dia. Katanya senang masuk kalau lebih dekat.
“Padahal Pak M ada agenda lain. Memori hitam yang tak mampu dilupakan sampai sekarang adalah apabila Pak M hi*** lidah aku. Kononnya bacaan akan lebih senang meresap kalau buat seperti itu. Kata Pak M, bacaan juga menjadi lebih lancar tanpa tergagap. Kalau masa itu aku sudah ada akal fikiran, memang nak ludah muka dia.
“Ketika kejadian, aku tak tahu bahawa perkara itu salah. Tetapi memang sudah rasa tak selesa dengan cara Pak M itu. Aku rasa diri ini bodoh sebab tak mengadu dekat ibu bapa daripada awal. Aku mula ponteng kelas mengaji sebab tak suka dia. Untuk pengetahuan semua, dia akan buat macam itu kalau adik aku tidur sahaja.
“Kalau adik tak tidur, Pak M tak akan buat. Pandai betul dia. Satu hari, aku beranikan diri cerita dekat ibu bapa mengenai perkara ini. Betapa terkejutnya mereka waktu itu. Namun apakan daya, tak boleh nak buat apa-apa tindakan. Sebab tiada bukti. Pak M juga sudah meninggal sekarang. Biarlah, tinggal urusan dia dengan Allah.
“Aku pula sudah dikurniakan anak perempuan. Semoga aku berjayalah mendidiknya. Jadi, selalulah bertanya anak-anak semua adakah mereka baik-baik sahaja. Kalau boleh, setiap hari bertanyakan keadaan mereka. Semoga kita semua dapat menjaga amanah yang telah Allah berikan ini dengan sebaik-baiknya.
“Tidak lupa juga kepada pasangan suami isteri di luar sana yang masih berusaha untuk mendapatkan anak. Semoga anda ditiupkan malaikat kecil di dalam perut suatu hari nanti. Sekian cerita dari aku, Mawar (Bukan nama sebenar).” Kongsi wanita terbabit menerusi satu hantaran di sebuah forum atas talian.
Baca juga: Terbalik pula! Penumpang tolong bawakan kereta, pemandu teksi terlena di ‘seat’ belakang