Malaysia Dateline

Jika masa umur 20, 30-an dan 40-an tiada niat nak jadi PM, kenapa selepas 70-an, kata Kit Siang

Tun Mahathir dan Kit Siang dalam satu majlis Pakatan Harapan.

Lim Kit Siang menegaskan untuk sekian kalinya beliau tidak bercita-cita mahu menjadi perdana menteri Malaysia sebagaimana didakwa oleh Umno.

“Jika saya tidak pernah terfikir untuk menjadi perdana menteri Malaysia ketika saya berumur 20-an, 30-an atau 40-an, kenapa ketika saya berumur 70-an saya perlu berfikir untuk jadi perdana menteri,” kata Lim Kit Siang, ketua parlimen DAP.

Menurut Kit Siang, beliau sudah 52 tahun terlibat dalam politik dan sudah banyak kali menyebut bahawa menjadi perdana menteri Malaysia tidak pernah terlintas di fikiran beliau.

“Saya juga pernah berkata walaupun Perlembagaan Malaysia membenarkan mana-mana rakyat Malaysia menjadi perdana menteri.

“Saya tidak nampak bagaimana seorang bukan Melayu boleh menjadi perdana menteri ketika saya masih hidup,” katanya.

Menurutnya, di Amerika Syarikat, orang kulit hitam Barack Obama buat pertama kali menjadi presiden negara itu.

“Tetapi ia mengambil masa selama 230 tahun selepas pembentukannya pada tahun 1776,” katanya.

Namun beliau masih berharap satu masa nanti seorang bukan Melayu akan menjadi perdana menteri di Malaysia.

“Saya harap ia tidak perlu sampai 230 tahun sebelum seorang bukan Melayu menjadi perdana menteri Malaysia, tetapi saya tidak jangka ia akan berlaku dalam abad ke 21,” katanya.

Pemimpin Umno terus-terusan mendakwa Kit Siang mahu bahkan akan menjadi perdana menteri jika Pakatan Harapan menang dalam pilihan raya umum nanti.

Hatta Datuk Seri Najib sendiri mendakwa Kit Siang akan menjadi PM,

Mereka mendakwa, tindakan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengatakan bahawa pemimpin DAP, Lim Kit Siang tidak boleh menjadi Perdana Menteri hanyalah taktik beliau untuk menarik undi Melayu.

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, tindakan Mahathir berkenaan boleh dikatakan sebagai salah satu taktiknya untuk memperdayakan Melayu supaya menentang Umno dan Barisan Nasional.

“Saya tidak beberapa pasti maksud dan tujuan sebenar Tun Mahathir berkata sedemikian kerana macam-macam boleh terjadi, namun kita boleh lihat dia sekarang cuba menarik sokongan orang Melayu kepada pembangkang.

“Mungkin dengan berkata sedemikian Tun Mahathir fikir dia mampu meyakinkan Melayu supaya tidak perlu bimbang Kit Siang tidak akan menjadi Perdana Menteri dan mereka boleh sokong pembangkang,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Surau Muara Aman, Kampung Air Deras, Sungai Manik sebagaimana dilaporkan media.