Malaysia Dateline

“Jika nak komen berkenaan instrumen kewangan, kena faham dahulu MFRS 9”

Seseorang yang mahu komen berkenaan instrumen kewangan wajar memahami dahulu Malaysian Financial Reporting Standards 9 (MFRS 9) yang menjadi rujukan untuk memperakaunkan aset dan liabiliti kewangan.

Bukan senang hendak melontarkan komen apatah lagi ia jauh daripada bidang kita, kalau kita pengamal undang undang eloklah mengulas berkenaan bidang yang berkaitan tidak perlu campur tangan bidang lain seperti kewangan melainkan kita memang pakar kewangan.

Baru-baru ini seorang peguam wanita cuba mengulas isu berkaitan dengan kewangan Tabung Haji yang dikatakan jauh dari fakta yang sebenar menyebabkan bekas CEO Tabung Haji Datuk Nik Hasyudeen meninggalkan komen di TiToker itu.

Ekoran komen bekas CEO itu, wanita berkenaan dikatakan tercidut kemudian memadam komen pakar kewangan itu.

Hari ini, bekas CEO berkenaan telah memberi sedikit pencerahan dan garis panduan buat mana-mana individu yang mahu komen berkenaan instrumen kewangan agar memahami dahulu MFRS 9.

Ikuti penjelasan beliau;

Di dalam ekonomi moden, instrumen kewangan yang merangkumi pelbagai kontrak yang mewujudkan aset dan liabiliti kewangan ada di mana-mana.

Contohnya jika sebuah syarikat menerbitkan sukuk, sukuk menjadi liabiliti (tanggungan) kepada syarikat berkenaan dan menjadi aset kepada pemegang sukuk. Jika entiti lain pula mengumpulkan deposit dari pihak ketiga untuk dilaburkan, deposit berkenaan akan menjadi liabilitinya dan pelaburan yang dibuat akan menjadi asetnya. Ini boleh jadi saham, sukuk, hartanah, pajakan jangka panjang, ekuiti persendirian dan macam-macam lagi.

Bagaimana nak mengiktiraf aset dan liabiliti sebegini dan bagaimana pula nak menilainya mestilah mengikut piawaian perakaunan. Jika tidak, semua pihak akan cuba menunjukkan kedudukan yang paling baik berdasarkan naratif dan cerita yang nak disampaikan kepada pihak yang ada kepentingan.

Sekarang, piawaian Malaysian Financial Reporting Standards 9 (MFRS 9) menjadi rujukan untuk memperakaunkan aset dan liabiliti kewangan.

Sebelum wujudnya MFRS 9, piawaian sebelumnya ialah International Accounting Standard 39 (IAS 39).

Mantan Pengerusi Lembaga Piawaian Perakaunan Antarabangsa Sir David Tweedie pernah membuat menyataan “sesiapa yang mendakwa dia memahami IAS 39 bermakna dia masih belum membaca piawaian berkenaan sepenuhnya”. Maka MFRS 9 dikatakan bertujuan untuk mempermudahkan sedikit perakaunan ke atas instrumen kewangan.

Mengapa di ketika kita nak berpilihanraya saya sebut pulak berkenaan piawaian perakaunan? He he. Saja nak bagi tahu bahawa bila nak bincang berkenaan aset atau liabiliti kewangan, kena ada rujukan yang berkenaan, bukannya nak main sebut ikut suka hati kita sahaja.

Contohnya, sebuah entiti boleh memegang sukuk kupon sifar yang matang beberapa tahun ke hadapan. Oleh kerana tidak ada pembayaran kupon, nilai keuntungan yang terhasil akan meningkatkan nilai sukuk ditangan entiti berkenaan. Bagaimanakah entiti berkenaan mengira hak untuk menerima pembayaran yang semakin tinggi itu? Kena rujuklah kepada MFRS 9.

MFRS 9 kata, jika instrumen yang dipegang itu memenuhi syarat-syarat SPPI, entiti berkenaan boleh mengira pertambahan nilai sukuk yang akan diterima sebagai pendapatan. Apa pula SPPI tu? Solely Payments of Principal and Interest. Maknanya entiti yang memegangnya akan mendapat balik modal dan faedah (kalau sukuk, keuntungan). Kalau dah penuh syarat ni, bolehlah dikira sebagai keuntungan tanpa was-was.

Apabila akaun diaudit, ianya perlu diaudit oleh juruaudit yang pandai juga. Nama firma atau Jabatan sahaja tidak menjadi bukti mereka pandai. Kena ada orang yang benar-benar berilmu, berkemahiran, berpengalaman dan memegang prinsip profesional. Bukan ikut suruhan bos sahaja.

Di antara isu yang akan dinilai oleh juruaudit yang pandai ialah:

  1. Adakah sukuk ini wujud?
  2. Adakah pengiraan keuntungan betul?
  3. Adakah sukuk ini benar-benar boleh dikutip apabila matang?
  4. Adakah tanda-tanda rosotnilai (impairment indicator) yang perlu diperiksa?

Untuk soalan ke 3 dan 4, juruaudit akan menilai siapakah pihak yang menerbitkan sukuk, apakah kedudukan kewangannya, bagaimana aliran tunainya, apakah risiko yang akan menghalang dari pembayaran dan pelbagai soalan lagi.

Jika entiti berkenaan nampak tidak kukuh, adakah ianya dijamin oleh pihak lain. Siapakah pemjaminnya? Adakah penjaminnya pernah mungkir (default) di dalam sejarah pembayaran hutang? Adakah penjamin mempunyai penarafan kredit (credit rating) dan apakah tarafnya?

Apabila juruaudit yang pandai berpuas hati bahawa bukti-bukti audit yang cukup dan bersesuaian (sufficient and appropriate) telah didapati, ianya tidak akan membangkitkan isu berkenaan di dalam laporan auditnya.

Apa yang saya kongsikan ni amat ringkas. Kerja-kerja sebenar yang perlu dibuat amat banyak, kompleks, kena rujuk pelbagai dokumen dan juga kena buat pelbagai keputusan profesional (professional judgment).

Pelapor kena tunjukkan bukti dan juruaudit yang pandai akan tanya pelbagai soalan yang susah-susah.

Jadi, jika orang yang tak pernah melihat apa-apa dokumen nak timbulkan pandangan yang berbeza, kena ingatlah kerja keras pelbagai pihak seperti yang saya sebut di atas.

Bukan senang blogger nak jadi akauntan.

Baca juga: Netizen imbau semula pengorbanan bapa redah laut larikan 2 anak demi akidah mereka

Baca juga: Buat review jujur pun salah, infuencer dakwa bakal disaman pengasas produk