Malaysia Dateline

Jika Parlimen dibuka sekarang, tukang cuci pun terdedah jangkitan Covid-19

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Dr Muhammad Faiz Na’aman mendakwa kira-kira 1,000 petugas di Parlimen berisiko tinggi dijangkiti Covid-19 jika persidangan Parlimen diadakan pada masa sekarang.

Menurut pimpinan parti yang dilantik pada 2016 itu, seluruh ahli Parlimen sama ada yang sudah menerima suntikan vaksin atau belum terdedah kepada pelbagai varian baharu Covid-19 yang lebih ganas.

“Malah semua pihak yang terpaksa hadir ke Parlimen, dari tukang cuci, pengawal keselamatan, hinggalah kepada staf Parlimen serta para pegawai kementerian yang berkaitan, lebih kurang dalam 1,000 nyawa akan terdedah dengan wabak tersebut,” tegasnya dalam kenyataan hari ini.

Faiz yang berkelulusan doktor perubatan dari Cyberjaya University College of Medical Sciences (CUCMS) itu berkata, kemunculan kluster Parlimen juga nanti berbahaya kepada hampir sebahagian Ahli Parlimen yang merupakan kumpulan berisiko.

“Kita tidak mahu kelak nanti wujud pula kluster Parlimen yang mengorbankan nyawa terutama mereka yang berada dalam kelompok berisiko tinggi akibat mempunyai penyakit-penyakit kronik yang lain,” katanya.

Faiz Na’aman

Kenyataan Faiz itu sekali gus dilihat mengulangi alasan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berhubung kewajaran penangguhan sidang Parlimen hingga 1 Ogos depan.

Kata Takiyuddin pada 3 Mac lalu, seramai 77 daripada 220 Ahli Parlimen berumur 61 hingga 69 tahun manakala terdapat 19 orang berusia dari 71 hingga 79 tahun dan empat orang lagi berumur 80 tahun ke atas.

Mengulas lanjut, Faiz yang juga menggelar pimpinan tertinggi Pakatan Harapan (PH) sebagai “kelompok binatang politik” berkata, kewujudan kluster Parlimen atau masalah teknikal ketika berlangsungnya sidang Parlimen dalam talian cenderung akan menjadi modal politik.

“Cadangan sidang Parlimen secara maya atau hibrid pula mempunyai keterbatasan yang tertentu memandangkan ia pertama kali dicadangkan, maka sudah tentu ia mengambil masa untuk direalisasikan agar tiada masalah teknikal yang berbangkit di kemudian hari.

“Andai kata wujud kluster Parlimen oleh mereka yang hadir ke Parlimen sekarang atau masalah teknikal ketika sidang secara maya, maka sudah tentu ia akan dijadikan pula modal politik oleh kelompok binatang politik ini tadi,” kata Faiz yang juga ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) itu  lagi.