Jika Pas-Umno bentuk kerajaan perpaduan, Abdul Rani akan keluar Pas

Jika Pas-Umno bentuk kerajaan perpaduan, Abdul Rani akan keluar Pas

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Meru Dr Abdul Rani Osman berkata beliau sendiri akan keluar Pas jika parti Islam itu bergabung dengan  Umno bagi membentuk kerajaan perpaduan.

Bekas pesuruhjaya Pas Selangor yang juga calon di PRK Sungai Besar itu berkata pemimpin Pas sudah berkali-kali menafikan akan wujudnya gabungan antara kedua-dua parti Melayu berkenaan walaupun ada spekulasi mengatakan demikian.

Ini kerana pemimpin tertinggi Pas dan Umno kelihatan mesra sejak akhir-akhir ini.

“Ia bukannya seperti kita akan membentuk kerajaan perpaduan dengan Umno. Pemimpin Pas sudah menafikan dan begitu juga saya.

“Kalau ada kerjasama dengan Umno, saya yang akan jadi orang pertama tinggalkan Pas. Tidak ada rancangan seumpama itu,” katanya dipetik daripada Malay Mail Online.

Dr Rani berkata dalam politik, rakan baik anda boleh jadi musuh ketat anda dan menafikan spekulasi mengenai keakraban partinya dengan Umno.

“Islam mengajar kita berbaik-baik antara satu sama lain meskipun tidak sependapat dalam politik. Berbaik dengan semua orang termasuk musuh anda,” katanya.

Rani pada masa sama mengakui beliau ‘rapat’ dengan saingannya di PRK Sungai Besar, calon BN Budiman Mohd Zohdi meskipun tidak berkongsi pandangan terhadap politik.

“Saya sendiri berpelukan dengan Budiman, tetapi ia tidak bermakna saya bersetuju dengan dia. Itu persahabatan, tidak salah.

“Dalam Islam, tidak salah berkawan dengan semua orang,” katanya seperti dilaporkan Malay Mail Online.

Pas ditubuhkan pada 1951 dan pernah menjadi sebahagian daripada BN pada 1974 hingga 1978.

PRK Sungai Besar menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Pas, BN dan Amanah. Hari pengundian ditetapkan pada 18 Jun.

TAGS